Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) bahagian Permatang Pauh, Anuar Shaari berkata beliau bertindak meletakkan jawatan dan keluar daripada parti itu kerana amat kecewa dan tidak tahan lagi dengan permainan politik dalamannya.

"Politiking dalam parti (PKR) dari peringkat pusat ke bahagian telah semakin banyak. Akibatnya mereka lebih mengutamakan kepentingan peribadi daripada parti

"Mereka masuk untuk jawatan dan bukannya perjuangan dan semua hendak menjadi calon," katanya ketika dihubungi malaysiakini semalam.

Anuar mula menyertai PKR sebaik sahaja parti itu dituhuhkan pada 1999 dan menjadi ketua bahagian Permatang Pauh pada awal 2004.

Dalam pilihanraya umum lalu, beliau bertanding atas tiket PKR di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh.

Anuar mengumumkan perletakan jawatan sebagai Ketua PKR Permatang Pauh dan keluar parti ketika berucap dalam mesyuarat bahagian tersebut.

Pengumuman Anuar itu turut mengejutkan Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail yang hadir untuk merasmikan mesyuarat berkenaan.

Keputusan muktamad

"Saya lihat Datin Seri Dr Wan Azizah terkejut tetapi beliau cuba bertenang manakala kira-kira 120 ahli lain turut sama terkejut," kata beliau yang juga bekas setiausaha sulit kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu menjadi Timbalan Perdana Menteri.

"Selepas mesyuarat tersebut, beliau (Wan Azizah) tampil memujuk saya supaya tidak keluar parti, tetapi saya tetap dengan keputusan yang telah dibuat itu.

"Saya tidak akan kembali kepada PKR lagi," katanya.

Menurut Anuar lagi, bibit sengketa dalam bahagian Permatang Pauh telah mula kelihatan walaupun ia tidak serius.

Pendirian berkecuali

"Permatang Pauh mahu berkecuali dalam pencalonan Timbalan Presiden PKR dalam kongres nasional di Seremban, Mei ini tetapi tidak mendapat persetujuan penuh.

"Walaupun, akhirnya bahagian mengambil pendirian berkecuali, tetapi ia menunjukkan berlaku ketidak sepakatan kerana ada ahli yang mahu mencalonkan Dr Syed Husin Ali manakala yang lain pula mencadangkan Naib Presiden, Azmin Ali," katanya.

Ditanya mengenai masa depan politiknya, Anuar berkata: "Buat masa ini, saya tidak memikirkan untuk menyertai mana-mana parti politik kerana sekarang adalah tempoh bertenang."

Di samping itu, tegasnya, beliau juga tidak mengambil sikap bermusuh dengan PKR, tetapi sebaliknya akan tetap menyokong perjuangan parti itu bagi menegakkan keadilan di negara ini.

Bagaimanapun, katanya, PKR perlu mengotakan janjinya dan bukan hanya slogan semata-mata.