Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata prosedur operasi piawai (SOP) penyiaran SMS saluran kerajaan perlu dikaji semula bagi menjamin hanya maklumat yang melibatkan kepentingan awam dan relevan disampaikan.

Menteri itu berkata bahawa mesej dan amaran penting, seperti amaran banjir, masih akan dihantar ke seluruh negara, tetapi dia berkata masih terdapat keperluan untuk mengkaji semula SOP.

“Kita sedang mendapatkan maklumat dan menjalankan semakan mengenai proses penghantaran mesej (kepada orang ramai),” katanya seperti dilapor FMT.

Fahmi berkata dengan menyelaraskan semula SOP, ia akan memastikan hanya mesej penting disiarkan.

Baru-baru ini, kementerian itu telah menerima kritikan kerana menyebarkan mesej melalui siaran SMS "GOV" pada Selasa yang memuji pentadbiran pimpinan Anwar Ibrahim sebagai "penyelesaian berdasarkan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan".

Ini diikuti dengan satu lagi mesej teks pada hari Rabu mengenai kepelbagaian kerajaan gabungan.

Pengumuman perkhidmatan awam mengenai inisiatif oleh kementerian dan agensi kerajaan disiarkan di saluran siaran "GOV".

Semasa pandemik, kerajaan menggunakan saluran tersebut untuk memaklumkan kepada orang ramai tentang moratorium pinjaman bank, perintah kawalan pergerakan yang berbeza dan amaran penipuan.