Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Remaja Orang Asli mangsa terbaru serangan gajah di Pahang
Diterbitkan:  Jan 10, 2023 8:21 AM
Dikemaskini: 12:21 AM

Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun maut selepas serangan seekor gajah di Pos Sinderut di Kuala Lipis, Pahang.

Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor berkata kanak-kanak lelaki yang maut dalam kejadian terbaru itu dipijak seekor gajah liar di kawasan ladang kira-kira jam 10 pagi semalam.

Katanya, ia merupakan kes kematian kedua membabitkan penduduk Orang Asli akibat konflik dengan gajah liar sejak beberapa minggu lalu.

Justeru Ramli mempersoalkan bilakah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia akan mengambil tindaakn.

"Dalam tempoh beberapa minggu lepas seorang wanita Orang Asli mati di Pos Betau angkara kumpulan gajah tersebut.

"Perhilitan nak tunggu berapa ramai lagi nyawa Orang Asli di kawasan parlimen Cameron Highlands dan DUN Jelai melayang baru ada tindakan positif diambil?" soalnya.

Pos Betau dan Pos Sinderut terletak kira-kira 65 km antara satu sama lain melalui jalan darat, dan dipisahkan oleh hutan tebal.

Imej satelit menunjukkan pembersihan hutan berhampiran Pos Betau dan di sekitar Pos Sinderut.

Ramli berkata, dia sebelum ini mencadangkan agar kawanan gajah liar yang mengancam penduduk kampung dipindahkan ke hutan simpan lain seperti di Kenyir.

Bagaimanapun, pihak berkaitan bersikap membisu berhubung perkara itu.

Ramli berkata jika tiada tindakan diambil untuk memindahkan gajah liar, masyarakat Orang Asli mungkin terpaksa mencederakan haiwan terbabit, demi melindungi diri mereka.

"Nanti jika Orang Asli bertindak di luar batas undang undang terhadap gajah-gajah ini jangan ada pula tindakan diambil terhadap tindakan mempertahankan nyawa dan ada membela gajah-gajah ini. Nyawa manusia atau nyawa gajah yang amat berharga?"soalnya.

Gajah Asia adalah spesies terancam. Perhilitan menganggarkan kurang daripada 1,700 haiwan berkenaan tinggal di hutan di Malaysia.

Antara ancaman kepada kewujudan mereka ialah kehilangan habitat, yang juga membawa kepada konflik manusia-gajah.

Antara 2015 hingga 2021, Perhilitan merekodkan 3,325 aduan membabitkan konflik manusia-gajah.

Dari Januari hingga Jun tahun lepas, kira-kira 435 aduan serupa dilaporkan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS