Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas penyelia ladang mengaku tidak salah eksploitasi lima individu
Diterbitkan:  Jan 10, 2023 1:58 PM
Dikemaskini: 5:58 AM

Seorang bekas penyelia ladang hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Seremban atas lima pertuduhan memperdagangkan lima individu bagi tujuan eksploitasi sebagai buruh paksa. 

Tertuduh L Jaya Seelan, 51, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Datin Surita Budin.

Mengikut pertuduhan,  tertuduh didakwa memperdagangkan S Veerasamy, 46, dan isteri, A Rajeswari, 39, dan dua anak mereka, V Shasikala, 19, dan V Anbarasi, 22, serta menantu, P Aridasan, 30, bagi maksud eksploitasi sebagai buruh paksa ladang untuk menyelesaikan hutang.

Kesalahan tersebut dilakukan di sebuah Ladang Bukit Tinggi di Rompin, Jempol, antara 2008 hingga 17 Nov 2021 dan tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hafizah Zainul Hashimi manakala tertuduh diwakili peguam, M Gobinathan.

Sementara itu, Pegawai Penyiasat Inspektor Salwati Abdullah dalam prosiding kes memaklumkan kesemua mangsa kini ditempatkan di rumah perlindungan berasingan di Melaka, Johor dan Negeri Sembilan.

Hakim kemudian menetapkan jaminan keseluruhan RM25,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Mahkamah turut mengarahkan tertuduh supaya tidak mengganggu mangsa dan mana-mana saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Sebutan kes ditetapkan pada 13 Feb ini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS