Jawatan presiden: Pencalonan untuk ARO terus meningkat
Lima lagi bahagian Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah mencalonkan Abdul Rahman Othman untuk bertanding jawatan Presiden PKR dalam kongres nasional parti itu Mei ini.
Lima lagi bahagian Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah mencalonkan Abdul Rahman Othman untuk bertanding jawatan Presiden PKR dalam kongres nasional parti itu Mei ini.
Dengan itu, beliau sehingga ini menerima tujuh pencalonan iaitu empat dari Kedah (bahagian Merbok, Padang Serai, Pokok Sena dan Langkawi), masing-masing satu di Kelantan (Gua Musang), Wilayah Persekutuan (Bukit Bintang) dan Perak (Ipoh Barat).
Pencalonan untuk Abdul Rahman dijangka meningkat apabila 71 lagi bahagian PKR di seluruh negara mengadakan mesyuarat bahagian masing-masing sebelum tarikh akhir Sabtu ini.
Sehingga ini, sebanyak 96 daripada 167 bahagian PKR di seluruh negara telah mengadakan mesyuarat perwakilan masing-masing.
Bagaimanapun, 20 daripada bahagian tersebut masih belum menghantar laporan, termasuk senarai pencalonan masing-masing kepada ibu pejabat parti itu.
Sumber PKR Kedah memberitahu sekurang-kurangnya dua bahagian lagi di negeri itu dijangka mencalonkan Abdul Rahman untuk jawatan presiden.
Masih ada empat bahagian Jerai, Kubang Pasu, Kuala Kedah dan Kulim Bandar Baru yang belum mengadakan mesyuarat perwakilan masing-masing.
Syed Husin dahului
Setakat ini, enam daripada 10 bahagian di Kedah telah bermesyuarat, tetapi Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim belum mendapat satu pun pencalonan dari negeri tersebut.
Menurut Suara Keadilan terbaru, Anwar bagaimanapun telah mendapat 60 pencalonan untuk jawatan presiden setakat ini.
Manakala penyandang jawatan tersebut, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail, mendapat sembilan pencalonan.
Bagi jawatan timbalan presiden, penyandangnya, Dr Syed Husin Ali mendahului dengan mendapat 36 pencalonan, diikuti oleh Azmin Ali (30), Ezam Mohd Noor (4) dan Tian Chua (1).
Bagi jawatan naib presiden pula, penyandangnya, Dr Lee Boon Chye mendahului dengan 58 pencalonan, Datuk S Nallakarupan (25), Fuziah Salleh (23), Sivarasa Rasiah (21), Azmin (20), Mustaffa Kamil Ayub (18), Datuk Dr Jeffrey Kitingan (10), Ezam (9), Tian Chua (7), Badrul Amin Baharun (3), Dr Mansor Osman (3) dan Dr Xavier Jeyakumar (2).

