Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Perhimpunan Agung Umno 2022 yang akan membuka tirainya esok menjadi platform terbaik buat parti itu untuk membuat perancangan segera untuk bergerak ke hadapan susulan prestasi buruk pada PRU lalu.

Perhimpunan kali ini juga dilihat penting untuk mencerminkan bagaimana parti politik terbesar Melayu itu menyelesaikan semua perkara berkaitan isu dalaman parti selepas kalah kali kedua dalam PRU.

Malah kali ini dengan rekod paling buruk apabila turut hilang kepercayaan pengundi pada PRU ke-14.

Walaupun Umno dan BN berada dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, namun parti itu bukan lagi dominan.

Baru-baru ini, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengajak ahli parti itu untuk bermuhasabah dan bersatu dari segi pemikiran, hati nurani serta tindakan bagi mengembalikan semula kekuatan mereka yang sebelum ini menjadi tunjang memartabat bangsa, agama dan negara.

Bagi Ahmad Zahid agenda memperkukuh semula Umno - yang merupakan parti tunjang dalam BN - perlu diutamakan setelah ‘terpukul’ pada PRU ke-15 berbanding melayani kehendak individu yang bersifat ‘gunting dalam lipatan.'

Selain isu dalaman, penolakan terhadap Umno dan BN yang banyak dikaitkan dengan persepsi rasuah kalangan pemimpin turut penting untuk diteliti secara mendalam susulan BN hanya memenangi 30 daripada 178 kerusi yang ditandinginya baru-baru ini.

Ketua Penerangan Umno Isham Jalil dilaporkan berkata parti itu perlu berusaha membetulkan stigma masyarakat terhadap mereka yang sering didakwa mengamalkan rasuah jika mahu bangkit semula selepas dua kali ditolak dalam PRU.

Katanya sepanjang 60 tahun menjadi parti dominan, Umno sering menjadi sasaran diserang dengan isu rasuah sehingga ideologi itu berjaya ditanam dalam fikiran orang ramai.

Pertemuan tahunan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) yang akan dihadiri 6,198 perwakilan dan pemerhati kali ini menyaksikan jumlah bertambah apabila turut melibatkan ketua penerangan bahagian dan sayap parti.

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan sebelum ini menyatakan penyertaan secara automatik ketua penerangan bahagian, wanita, pemuda dan puteri bertujuan supaya mereka dapat memberi penjelasan kepada ahli parti di kawasan masing-masing mengenai ucapan dasar presiden, perwakilan negeri dan sayap.

Seramai 2,822 perwakilan dan pemerhati akan ke Perhimpunan Agung Umno yang dijadual berlangsung sehingga Sabtu ini, sementara 1,117 perwakilan akan ke Perhimpunan Agung Wanita; 1,146 Pemuda; dan 1,113 ke Perhimpunan Agung Puteri yang akan dirasmikan secara serentak oleh Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan, malam esok.

Buat julung kalinya juga, perhimpunan itu tidak akan menjemput perwakilan asing, dan tiada sebarang jemputan dikeluarkan kepada parti politik selain komponen BN dan Friends of BN bagi memberi laluan kepada parti itu menyelesaikan semua perkara yang berhubung kait dengan isu dalaman.

Selain itu, perhimpunan kali ini juga akan hanya tertumpu kepada ucapan dasar presiden yang mungkin akan menyentuh hal berkaitan pendidikan, agama, ekonomi, politik dan antarabangsa.

Antara yang turut menjadi tumpuan pada perhimpunan kali ini ialah perhimpunan agung khas yang akan diadakan pada Jumaat ini bagi membuat pindaan pada dua fasal perlembagaan, termasuk fasal 20.11 yang menyebut seseorang ahli yang menang bertanding tetapi meninggalkan parti atau bertanding sebagai calon bebas atau parti lawan pada pilihan raya akan gugur keahlian dengan sendirinya.

Pindaan itu dibuat agar bersesuaian dengan akta antilompat parti.

Satu lagi fasal perlembagaan parti yang dicadangkan dipinda ialah fasal 8.4 iaitu untuk meletakkan ketua penerangan bahagian, wanita, pemuda dan puteri secara automatik menjadi perwakilan dalam perhimpunan agung tahunan pada setiap tahun.

Perhimpunan Agung Umno 2022 yang sebelum ini dijadualkan pada 21 hingga 24 Dis tahun lalu ditangguhkan kepada 11 hingga 14 Jan 2023.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS