Bekas penasihat undang-undang kumpulan al-Arqam menafikan membuat kenyataan di akhbar Berita Harian bahawa bekas pemimpin kumpulan itu Ashaari Muhammad tidak pernah insaf.

Zabidi Mohamad, yang juga seorang peguam menegaskan demikian dalam pernyataan pembelaannya terhadap saman yang difailkan terhadapnya oleh Rufaqa Corporation pada 26 Disember lalu.

Rufaqa Corporation mendakwa Zabidi dengan secara salah dan dengan niat jahat menuturkan kata-kata, menulis, mencetak dan menerbitkan atau menyebabkan ia ditulis, dicetak dan diterbitkan dalam akhbar Berita Harian pada 2 Disember tahun lalu, demikian menurut laporan Bernama.

Kenyataan itu, antara lain, bermaksud Rufaqa Corporation cuba menghidupkan kembali kumpulan Al-Arqam dan ajarannya, terbabit dalam aktiviti agama, termasuk mengamalkan ajaran Aurad Muhammadiah.

Oleh itu, Rufaqa Corporation menuntut gantirugi libel sebanyak RM50 juta, satu injunksi menghalang Zabidi daripada menerbitkan dan atau mengulangi fitnah itu, faedah, kos dan lain relif yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Dalam kenyataan pembelaannya, Zabidi turut menafikan beliau membuat kenyataan bahawa Rufaqa Corporation Sdn Bhd cuba mengembangkan ajaran al-Arqam di Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta dengan mempengaruhi remaja untuk menyertai mereka.

Pernyataan pembelaan itu difailkan di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil, Shah Alam semalam melalui Tetuan Hisham, Sobri dan Kadir.

Sehubungan itu, beliau menuntut supaya Rufaqa Corporation membuktikan kenyataan itu adalah daripada beliau.

Bagaimanapun beliau mengaku membuat kenyataan di akhbar Berita Harian bahawa Ashaari menggunakan pertubuhan Rufaqa Corporation yang berselindung atas nama pertubuhan ekonomi untuk mengaburi mata masyarakat.