Asyraf: Siasat, dakwa penyeleweng dana rakyat era PN
Pemuda Umno secara sinis menyindir parti dalam Perikatan Nasional (PN) yang bersandiwara dengan mengutip duit syiling untuk memasang bendera, tetapi mampu berbelanja mewah sehingga ratusan ringgit dibayar kepada pengundi luar dan mahasiswa.
Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki menggesa SPRM dan peguam negara supaya terus memburu dan segera mendakwa mereka yang disyaki terlibat dalam amalan rasuah serta penyelewengan berbilion wang rakyat tetapi berselindung di sebalik slogan "bersih dan stabil".
Sayap Umno itu turut merakamkan penghargaan kepada SPRM berhubung tangkapan berhubung kes penyelewengan RM92.5 bilion pakej rangsangan, yang diluluskan dalam tempoh darurat.

"Ini mengesahkan lagi kesangsian kita selama ini bahawa kemungkinan berbilion-bilion duit rakyat disakau melalui projek-projek rundingan terus yang diluluskan dalam tempoh darurat kerajaan PN terdahulu.
"Barangkali mungkin sebab itu jugalah ada parti yang selama ini bersandiwara dengan mengutip duit syiling untuk memasang bendera, kini boleh berkempen dengan berbelanja mewah sehingga ratusan ringgit dibayar kepada pengundi luar dan mahasiswa.
"Justeru, Pemuda Umno menggesa agar pihak SPRM dan peguam negara terus memburu dan segera mendakwa mereka yang disyaki terlibat dalam rasuah dan penyelewengan berbilion-bilion wang rakyat di sebalik slogan bersih stabil yang dicanang-canangkan," katanya ketika berucap menyampaikan ucapan dasar perhimpunan agung Pemuda Umno di Pusat Dangan Dunia (WTC), di Kuala Lumpur, hari ini.

Oleh itu, katanya, Pemuda Umno mendesak supaya tidak ada lagi pendakwaan politik terpilih hingga ramai yang menjadi mangsa penganiayaan, penghinaan dan dimalukan bertahun-tahun lamanya.
"Sesungguhnya kekalahan dalam kemuliaan lebih baik daripada kejayaan dalam kehinaan. Jangan di mulut sahaja melaung-laungkan Islam, tetapi perbuatannya kufur nikmat dan melanggar aturan Tuhan," kata Asyraf lagi.
Pemuda Umno turut mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyiasat petisyen pilihan raya berhubung rasuah kepada pengundi oleh parti tertentu.

Sementara itu, Ketua Wanita Umno, Noraini Ahmad menyifatkan kekalahan Umno dalam pilihan raya umum lalu juga turut disebabkan sumber kewangan luar jangkaan parti lawan.
Noraini turut tidak menolak kekalahan Umno disebabkan serangan sesama sendiri serta permainan persepsi yang amat-amat dahsyat berjaya dilaksanakan pihak lawan.
"Semalam, presiden dan timbalan presiden telah menyentuh bahawa kekalahan kita adalah berpunca daripada faktor luaran dan dalaman.
"Dari luar, kita kalah akibat permainan persepsi yang amat-amat dahsyat didorong oleh sumber kewangan yang 'wallahi' tidak dijangka seperti yang telah diviralkan," katanya dalam ucapan dasar perhimpunan agung Wanita Umno, hari ini.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/01/3d0d589a2dddc423a7118d3a2c398665.jpg)
