DAP menyuarakan kekecewaannya terhadap keengganan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menurunkan harga minyak walaupun harga minyak mentah dunia sudah turun 'atas alasan harga minyak belum lagi stabil dan tidak menentu'.

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, walaupun harga minyak naik di pasaran dunia kelmarin kepada hampir AS63 setong, tetapi harga puratanya bagi lima minggu pertama tahun 2007 masih di bawah paras AS63 setong.

Harga itu, tambahnya, lebih rendah daripada harga AS$61 setong pada 28 Februari 2006 ketika kerajaan menaikkan harga petrol sebanyak 30 sen daripada RM1.62 kepada RM1.92.

"Abdullah harus melihat kepada harga purata minyak pada tahun ini dan beliau tidak boleh menafikan bahawa ianya stabil kerana harga purata itu kurang daripada AS60 setong.

"Keengganan beliau untuk mengurangkan harga petrol hanya memberi gambaran bahawa kerajaan hanya tahu menaikkan harga minyak tetapi tidak tahu menurunkannya semula apabila harganya di pasaran dunia sudah turun.

"Abdullah juga berkata, walaupun harga minyak mentah sudah turun dalam suku akhir tahun 2006, tetapi jumlah subsidi minyak masih tinggi, iaitu RM7.3 bilion pada 2006, dan (jumlah itu) tidak banyak bezanya dengan RM8.15 bilion pada 2005," katanya lagi.

'Petronas untung besar'

Kenyataan Abdullah itu, kata Lim, telah mengenepikan rekod keuntungan yang dicatatkan oleh Petronas dengan keuntungan sebelum cukai meningkat 21 peratus kepada RM 70.2 bilion bagi tahun kewangannya yang berakhir pada 31 Mac 2006 dan perolehannya meningkatkan 21.8 peratus kepada RM166.9 bilion.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan mengapa Petronas dan kerajaan tidak mahu berkongsi perolehan berbilion-bilion ringgit itu dengan rakyat Malaysia bagi mengurangkan beban mereka ekoran kenaikan harga minyak.

"DAP menggesa kerajaan supaya mengurangkan harga minyak sebanyak 30 sen balik kepada paras lama RM1.62 seperti pada 28 Februari 2006 untuk membolehkan rakyat Malaysia menjimatkan kos petrol sebanyak RM4.4 bilion," katanya.

Malah, katanya, tiada logik dan tiada rasional ekonomi mengapa kerajaan tidak boleh menurun harga petrol apabila harga purata setong bagi tahun ini adalah di sekitar AS$55 iaitu antara AS$49.90 kepada AS$60 setong.

"Keengganan kerajaan untuk mengurangkan harga petrol ketika hampir semua negara lain berbuat demikian, menunjukkan kurang keprihatinannya terhadap beban ekonomi yang ditanggung oleh rakyat dan peniaga kecil ekoran kenaikan harga dan kadar inflasi, terutama golongan miskin dalam masyarakat.

"Tiada siapa yang faham mengapa harga petrol di negara pengimport minyak seperti Amerika Syarikat adalah AS$60 selitar, iaitu tinggi sedikit berbanding dengan AS$53 selitar di negara pengeksport minyak seperti Malaysia. Ke manakah perginya perolehan dan keuntungan minyak kita?," kata Lim.

'Menimbulkan syak'

Malah, tambahnya, tindakan menaikkan harga minyak ketika harganya meningkat, tetapi enggan pula mengurangkannya apabila harga minyak turun, telah menimbulkan syak bahawa kerajaan melindungi kepentingan diri.

Keadaan ini, katanya, akan memberi gambaran tidak baik terhadap keikhlasan dan komitmen Perdana Menteri untuk mewujudkan satu pentadbiran yang adil dan saksama, khususnya untuk mengurangkan beban rakyat miskini.

"Bagi kerajaan meminta rakyat Malaysia menerima kadar harga sekarang ketika negara-negara lain, termasuk negara jiran, telah mengurangkan harga minyak ekoran penurunan harganya di pasaran dunia, adalah tidak boleh diterima dan tidak bertanggungjawab," kata Lim.

Oleh itu, katanya, sudah tiba masanya bagi kerajaan mengagih-agihkan keuntungan Petronas untuk dikongsi bersama oleh rakyat.

"Keuntungan sebelum cukai Petronas sebanyak RM70.2 bilion tahun lalu adalah cukup besar dan sekiranya ia diagihkan RM2,000 kepada setiap rakyat Malaysia, Petronas masih ada baki RM18 bilion untuk menampung perbelanjaan dan keperluan operasinya," katanya.

Menurutnya, keadilan ekonomi dan ekuiti menuntut agar satu bentuk mekanisme pengagihan diwujudkan bagi memastikan rakyat Malaysia turut dapat berkongsi hasil sumber asli negara itu.