10 pelatih wanita PLKN keracunan makanan
Sepuluh pelatih wanita Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di kem Titian Bintangor, Rembau dihantar ke Hospital Tampin kerana disyaki mengalami keracunan makanan, malam tadi.
Sepuluh pelatih wanita Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di kem Titian Bintangor, Rembau dihantar ke Hospital Tampin kerana disyaki mengalami keracunan makanan, malam tadi.
Ahli Lembaga Naziran, Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) Negeri Sembilan, Datuk Lee Yuen Fong berkata mereka dikatakan mengalami cirit-birit dan muntah-muntah kira-kira jam 7 malam.
"Berikutan itu, pihak kem membawa mereka ke Hospital Tampin untuk mendapatkan rawatan," katanya di Tampin hari ini.
Beliau berkata kesemua pelatih itu dibenarkan pulang pagi ini setelah keadaan mereka pulih.
Menurut laporan Bernama, beliau berkata, Jabatan Kesihatan sedang menyiasat punca kejadian itu dan mengambil contoh makanan yang dimakan pelajar terbabit untuk pemeriksaan.
Keluarga dimaklumkan
Lee berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan kejadian itu berlaku kerana pelatih berkenaan menikmati makanan yang dibawa oleh ibu bapa mereka ketika melawat mereka pada hujung minggu lepas.
"Ini berdasarkan hanya 10 pelatih itu saja yang mengalami cirit-birit dan muntah-muntah manakala pelatih lain tidak pula mengalaminya," katanya.
Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Temiang berkata ibu bapa pelatih terbabit telah dimaklumkan mengenai kejadian itu.
Beliau meminta ibu bapa pelatih agar tidak bimbang kerana kebajikan dan kesihatan pelatih PLKN sentiasa diberi keutamaan.

