Usul yang diluluskan pada sesi Perhimpunan Agung Umno Sabtu supaya dua jawatan utama parti tidak dipertandingkan akan membuka ruang kepada Umno untuk bersatu semula dan bangkit menyusun strategi, kata penganalisis.

Mereka juga percaya bahawa usul yang diluluskan itu ketika Umno dalam tahap kritikal, mampu mengelakkan parti daripada terus berpecah.

Azizuddin Mohd Sani

Walaupun keputusan itu mungkin tidak disambut oleh ahli yang percaya bahawa tindakan tersebut tidak demokratik, namun ia boleh membantu Umno memulihkan keadaan, terutamanya dengan enam pilihan raya negeri yang tidak lama lagi.

Azizuddin Mohd Sani dari Universiti Utara Malaysia berkata sejarah telah menunjukkan bahawa perebutan jawatan presiden Umno sentiasa memberi kesan negatif kepada parti dari segi perpaduannya.

Antara beberapa contoh adalah pada tahun 1988, ketika perebutan kuasa antara Tengku Razaleigh Hamzah dan Dr Mahathir Mohamad yang menyaksikan Umno asal diharamkan, sebelum Tengku Razaleigh membentuk Semangat 46 manakala Mahathir menubuhkan Umno Baru, yang wujud sehingga hari ini.

Mahathir bersama Tengku Razaleigh

“Memang kita nak lihat demokrasi berjalan dalam setiap parti. Dalam umno pun demokrasi masih berjalan, tetapi lebih baik pertandingan tidak dijalankan untuk dua jawatan tertinggi ini untuk penyatuan parti dan stabilkan kerajana persekutuan yang masih perlukan dua pemimpin ini.

“Rasional perwakilan utk menyokong untuk dua jawatan tertinggi itu tidak ditandingkan adalah untuk fokus penyatuan dalam Umno,”  kata Azizuddin kepada Malaysiakini.

Menurut ahli akademik itu, senario politik semasa berbeza dengan pada 2018, semasa  pemilihan parti yang menyaksikan Ahmad Zahid Hamidi, Khairy Jamaluddin dan Tengku Razaleigh bertanding merebut jawatan presiden Umno.

Khairy Jamaluddin bersama Ahmad Zahid Hamidi

Ketika itu, katanya, jawatan itu kosong selepas Najib Razak melepaskan jawatan sebagai presiden Umno berikutan kekalahan teruk parti itu pada pilihan raya umum ke-14.

Azizuddin percaya dengan kedudukan Zahid dalam parti terjamin, dia boleh memulakan usaha untuk mengembalikan sokongan akar umbi kepada Umno dengan kerjasama parti itu dengan Pakatan Harapan.

Selain menjadikan Zahid sebagai timbalan perdana menteri, dia berkata kerajaan perpaduan yang diketuai oleh pengerusi PH Anwar Ibrahim juga memberikan portfolio menteri pembangunan luar bandar dan wilayah kepada Zahid - kedudukan ampuh untuk Umno bagi terus berhubungan dengan penduduk luar bandar dan separa bandar, khususnya orang Melayu.

Ahmad Zahid Hamidi

“Yang penting sekarang ini Zahid perlu bina kembali parti bersama-sama mereka yang sokong beliau. Paling penting sokongan dari PH yang nampak agak terbuka bagi balik dia bina parti.

“Kalau dgn PN saya rasa susah peluang dia nak dapat, dia nak dapatkan segmen penyokong yang sama. Kalau PH ni ada segmen dia target. Segmen yang dia tak ad, org Melayu luar dan pinggir bandar. Itu yg saya rasa dia beri untuk bina semula sokongan.

“Hubugan agak akrab di situ,” katanya.

Oh Ei Sun

Oh Ei Sun, felo kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, berkongsi sentimen yang sama, dengan berkata Umno perlu bersatu selepas kalah teruk pada pilihan raya baru-baru ini.

Bagaimanapun, tidak seperti Azizuddin, Oh tidak terlalu optimis dengan usul Sabtu lalu dapat membantu Umno dalam jangka masa panjang.

“Dalam jangka pendek, ia membolehkan parti memberi tumpuan kepada penyatuan semula selepas kekalahan hebat oleh gelombang hijau.

“Dalam jangka panjang, bagaimanapun, saya tidak pasti ia mampu membendung gelombang hijau dengan ketara,” katanya merujuk kepada PAS yang merupakan salah satu parti komponen dalam PN.

Gambar Hiasan

Oh berkata Perhimpunan Agung Umno minggu lalu juga membuktikan Zahid kini menikmati sokongan yang kukuh daripada barisan parti.

Dia percaya bahawa mereka yang tidak sehaluan dengan Zahid dalam Umno perlu menunggu sebelum boleh membuat percubaan untuk mengambil alih kepimpinan parti.

"...tetapi mereka mungkin terpaksa tunggu lama," tambah Oh.

‘Usul boleh makan diri Zahid’

Sementara itu, seorang pakar strategi geopolitik membayangkan satu lagi senario yang mungkin berlaku dalam Umno, dengan mengatakan bahawa usul  Sabtu lalu mungkin “memakan diri” buat Zahid.

Azmi Hassan

Azmi Hassan dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara berkata walaupun Zahid dan timbalannya Mohamad Hasan mungkin menang tanpa bertanding, pemimpin yang tidak sehaluan dengan mereka masih boleh merebut jawatan penting lain dalam parti.

Sekiranya ini berlaku, tegasnya, Umno mungkin mendapati dirinya berada dalam dilema lain.

“Katakanlah kumpulan yang mahu mengubah status quo itu mengisi jawatan-jawatan penting, tak kira la cawangan, bahagian, atau naib presiden, Pemuda, Wanita, Puteri dan MKT (Majlis Kerja Tertinggi), maka sudah pasti Umno akan jadi mcm di Amerika Syarikat, presidennya (dari parti) Demokrat tetapi kongresnya (dikuasai oleh) Republikan.

“Jadi sukar bagi Umno jadi lebih kuat jika kumpulan yang mahu jatuhkan status quo itu menang besar. Sudah pasti kumpulan yang mahu jatuhkan status quo itu akan gunakan senjata tidak mahu bekerjasama dengan DAP,’ katanya sambil menambah bahawa ini di sebalik penjelas yang telah diberikan oleh Mohamad Hasan.

Menurut Azmi, keadaan sedemikian akan menyukarkan Umno untuk membina semula kekuatannya.