Amerika Syarikat menawarkan ganjaran wang tunai AS$5 juta (kira-kira RM17.5 juta) kepada mereka yang mempunyai maklumat mengenai suspek pengganas seorang rakyat Malaysia yang dikehendaki berkaitan dengan beberapa siri pengeboman di Filipina.

"Setiausaha Negara Amerika, Condoleezza Rice telah meluluskan tawaran ganjaran baru wangtunai sehingga AS$5 juta kepada sesiapa yg dapat memberikan maklumat hingga tertangkapnya Zulkifli bin Hir (@ Marwan)," kata kenyataan Jabatan Negara Amerika semalam.

Zulkifli, yang dianggap sebagai "seorang pengganas yang dipercayai terbabit dalam banyak serangan bom di Filipina" telah dimasukkan ke dalam senarai orang dikehendaki Amerika.

Namanya dibariskan bersama dengan musuh nombor satu Amerika, Osama Bin Laden perancang rangkaian Al-Qaeda yang ditawarkan pampasan wangtunai sebanyak AS$25 juta.

Zulkifli dipercayai bersembunyi di Filipina sejak Ogos 2003 di mana dia terbabit membuat bom bersama dengan kumpulan Abu Sayyaf yang dikaitkan dengan Al-Qaeda.

Dilahirkan di Muar, Johor pada 1966, Zulkifli, seorang rakyat Malaysia, didakwa mengetuai pertubuhan pengganas Kumpulun Mujahidin Malaysia (KMM) dan menjadi anggota pemerintah pusat Jemaah Islamiyah (JI), kata kenyataan itu lagi.

JI masih dianggap kumpulan ektremis paling bahaya dan dipercayai bertanggungjawab melakukan beberapa kejadian serangan bom di Indonesia, termasuk serangan ke atas pulau peranginan Bali pada tahun 2002 dan 2005 yang mengorbankan lebih 200 orang.

"Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai Zulkifli bin Hir, atau sebarang rancangan mengenai keganasan terhadap Amerika Syarikat atau kepentingannya di mana sahaja di dunia, boleh menghubungi program Ganjaran untuk Keadilan," kata jabatan tersebut.

Pengeboman feri

Kumpulan Abu Sayyaf dan JI dituduh bertanggungjawab melakukan serangan keganasan terhadap Filipina, termasuk serangan bom ke atas sebuah feri dekat Teluk Manila pada 2004 yang membunuh lebih 200 orang.

Kumpulan Abu Sayyaf ditubuhkan pada awal 1990-an oleh Abubakar Abdurajak Janjalani yang menerima latihan ketenteraan di Afghanistan untuk menubuhkan sebuah negara Islam di selatan Filipina.

Berpangkalan di Mindanao, kumpulan tersebut terkenal melakukan penculikan pelancong rakyat asing di sebuah kepulauan peranginan Malaysia pada tahun 2000 untuk mendapatkan wang tebusan.

Adik lelaki Zulkifli "Taufik bin Abdul Halim @ Dany terbabit dalam serangan bom ke atas gedung Atrium di Jakarta pada 2001 dan sedang ditahan di Indonesia," kata kenyataan itu lagi.

Sejak ditubuhkan pada 1984, program Ganjaran untuk Keadilan telah membayar kira-kira AS$60 juta kepada lebih 40 orang yang membekalkan maklumat penting hingga tertangkapnya mereka yang dikehendaki.

Kira-kira 36 nama kini terdapat dalam senarai tersebut, termasuk Osama bin Laden, yang berjaya memboloskan diri sejak beliau secara terbuka mengakui bertanggungjawab melakukan serangan ke atas Pusat Dagangan Dunia New York pada 2001. Berita asal

- AFP