Angkatan Muda PKR sedia bantu DAP di Machap
Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (AMPKR) Melaka sedia membantu DAP mendapatkan sokongan pengundi Melayu dalam pilihanraya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap pada 12 April ini.
Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (AMPKR) Melaka sedia membantu DAP mendapatkan sokongan pengundi Melayu dalam pilihanraya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap pada 12 April ini.
Pengundi Melayu merupakan 39.7 peratus daripada 9,887 pengundi dalam DUN Machap. Pengundi majoriti adalah kaum Cina (45.7%), India (14.3%) dan bakinya lain-lain kaum.
Ketua AMPKR Melaka, Yusof Abdullah berkata, keputusan itu diambil kerana DAP menentang Barisan Nasional (BN) yang merupakan musuh utama kepada pembangkang, terutama PKR.
"Walaupun DAP bukan anggota Barisan Alternatif (BA), tapi kerana parti itu menentang BN, maka AMPKR akan membantu DAP," katanya ketika dihubungi malaysiakini.
Bagaimanapun, katanya, ia bergantung kepada restu dari Majlis Pimpinan Tinggi (MPT) yang dijangka bermesyuarat mengenai perkara itu tidak lama lagi.
Pilihanraya kecil Machap diadakan berikutan kematian wakilnya Poh Ah Tiam. Penamaan calon ditetapkan pada 3 April ini dan hari pengundian pada 12 April.
Dalam pilihanraya umum 2004, Poh mengalahkan calon DAP, Lou Chen Keung dengan majoriti 4,562 undi. Poh mendapat 5,847 undi manakala Lou 1,285.
Tunggu keputusan MPT
PKR telah bersetuju memberi laluan kepada DAP untuk meletakkan calonnya bertanding di Machap kali ini.
Yusof berkata, AMPKR telah menyatakan kesediaan tersebut kepada sayap Pemuda DAP dan mereka amat mengalu-alukannya.
Bagaimanapun, katanya rundingan rasmi dengan Pemuda DAP mengenai perkara itu belum lagi dibuat kerana AMPKR mahu mendapat keputusan rasmi dari MPT terlebih dahulu.
Semalam PAS Melaka memutuskan tidak akan membantu DAP dalam menghadapi pilihanraya kecil Machap.
Pesuruhjayanya, Abdul Ghani Abdul Rahman berkata, pejabat perhubungan PAS negeri telah mengeluarkan arahan kepada ahli dan penyokongnya supaya tidak membantu calon DAP.
"Mana-mana ahli PAS yang membantu jentera pilihanraya DAP akan dikenakan tindakan," katanya.
Bagaimanapun, kata Abdul Ghani, ahli PAS boleh sekadar hadir mendengar ceramah anjuran DAP atau pihak-pihak lain, termasuk Umno.

