Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan diminta membuktikan keseriusannya dalam penjenamaan semula pasukan polis, dengan menerima hasil siasatan awam Suhakam dan mengambil tindakan terhadap anggotanya yang menggunakan kekerasan melampau sewaktu protes membantah kenaikan harga minyak di KLCC pada 28 Mei tahun lalu.

Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang berkata, siasatan awam Suhakam yang diumumkan Jumaat lalu, mendapati anggota polis telah menggunakan kekerasan melampau sewaktu demonstrasi tersebut sehingga menyebabkan sepuluh orang mengalami kecederaan.

Ahli Parlimen Ipoh Timur itu berkata, ini akan membuktikan sama ada Musa benar-benar serius dan bukan hanya satu publisiti apabila mengumumkan langkah penjenamaan semula visi dan misi Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sewaktu sambutan ulangtahun ke-200 pasukan itu baru-baru ini.

Dalam satu kenyataannya, Lim berkata, Musa menegaskan penjenamaan semula visi dan misi PDRM itu adalah untuk melaksanakan 125 syor oleh Suruhanjaya Diraja Polis bagi mewujudkan perkhidmatan polis yang cekap, bertanggungjawab, boleh dipercayai, profesional dan bertaraf dunia.

Tarikh akhir bagi pelaksanaan syor suruhanjaya tersebut ialah pada Ogos 2005 iaitu 20 bulan yang lalu.

Antara syor Suruhanjaya Diraja Polis itu adalah "perlunya anggota polis menghormati dan melindungi hak asasi manusia."

Musa juga, kata Lim, perlu memberitahu rakyat Malaysia sama ada, melalui penjenamaan semula PDRM itu, syor mengenai hak asasi manusia telah diterima.

Tiada identiti diri

Lim berkata, dalam laporannya setebal 355 halaman itu, panel siasatan awam Suhakam mendapati kekerasan melampau telah digunakan terhadap 10 orang dan L/Kpl Mustika Lambonding dikenalpasti sebagai anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang memukul Lee Huat Seng, dengan cotanya.

Bagaimanapun, para saksi tidak dapat mengenal pasti anggota-anggota lain yang terbabit kerana tiada identiti diri (sama ada nama atau nombor anggota) kerana mereka memakai baju pelindung yang menutup pakaian seragam mereka (yang mempunyai tanda nama).

Menurut Lim lagi, pengerusi panel siasatan Suhakam itu, Datuk K C Vohrah berkata, perhimpunan di KLCC itu diadakan secara aman dan teratur dan pihak polis, ketika menyuraikannya, telah mencabul hak kebebasan untuk berhimpun sepertimana yang diperuntukkan dalam Artikel 10 Perlembagaan Negara.

Katanya, Vohrah juga berkata, memandangkan permit diperlukan, maka panel itu mengesyorkan supaya pihak penganjur memaklumkan kepada pihak polis, dan kedua belah berbincang mengenai cara praktikal untuk menganjurkannya.

Menurut laporan itu lagi, kata Lim, hak seseorang untuk mengadakan protes mengikut undang-undang, tidak boleh dianggap sebagai memudaratkan keselamatan negara.

Laporan itu juga mengesyorkan beberapa langkah untuk dilaksanakan dengan segera oleh pihak polis, seperti memakai tanda pengenalan diri yang jelas sewaktu mengawal perhimpunan, dan dilarang mengejar dan menangkap orang ramai yang sedang atau telah bersurai.

Ketua Pembangkang itu berkata, bola kini di kaki Ketua Polis Negara untuk membuktikan sama ada penjenamaan semula visi dan misi polis itu selaras dengan syor Suruhanjaya Diraja Polis supaya hak asasi manusia diberi keutamaan tertinggi dalam PDRM.