Menteri Besar Selangor Amirudin Shari menasihatkan supaya tidak mengambil langkah jangka pendek seperti membenarkan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dengan mengatakan ia adalah pendekatan populis.

Amirudin berkata membenarkan satu lagi pusingan pengeluaran KWSP kepada mereka yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 tidak akan memberi manfaat kepada kerajaan atau rakyat kerana ia menyebabkan kebergantungan kepada kerajaan.

Tindakan itu, yang dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu yang diketuai oleh bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob, adalah dasar yang tidak mengambil kira semua aspek secara menyeluruh dan akhirnya menyaksikan kekecewaan.

“Polisi yang tidak melihat secara menyeluruh keseluruhan aspek ini termasuk dalam pembangunan modal insan dalam negara yang akhirnya menyelesaikan masalah dalam jangka pendek.

“Pelaksanaan program populis itu akhirnya akan menyebabkan kebergantungan dan kebergantungan itu akhirnya juga menimbulkan kekecewaan dalam tempoh jangka pendek,” katanya.

Dia berkata demikian semasa program wacana 'Membangun Malaysia Madani', di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini yang disertainya bersama  Presiden Kolej Dar Al-Hikmah,  Prof Muhd Nur Manuty; Pengerusi Eksekutif Institut Darul Ehsan (IDE), Prof Dr Mohammad Redzuan Othman dan Pengarah Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Prof Dr Haslinda Abdullah. 

Amirudin menegaskan bahawa wabak Covid-19 telah memberi peringatan kepada semua pihak bahawa bantuan jangka pendek seperti pemberian wang bukanlah penyelesaian untuk menangani krisis.

Mengulas lanjut, dia turut memberi contoh sekatan semasa pentadbiran Muhyiddin untuk mengekang penularan virus Covid-19, dengan mengatakan ia memberi kesan secara langsung kepada rakyat sehingga a menyaksikan kempen bendera putih dan "kerajaan yang gagal".

“Akhirnya terjemah kepada pertukaran kerajaan dan pertukaran PM dan perubahan yang tidak kunjung habis.

“Sebab itu bila sebut madani, kita akan kerap kali melihat aspek-aspek terkandung falsafah dan pemikiran sesuatu yang diistilah madani, ada disebut tamadun, peradaban.

“Sebab itu pembangunan dasar dan polisi tidak boleh melihat hanya melihat jabatan, melihat kelompok tapi harus sampai ke dalam hati manusia,” katanya.

Sebagai rekod, pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan kerangka dasar baru untuk negara dikenali 'Membangun Malaysia Madani', yang dirumus bagi mencipta lonjakan baharu kepada negara bagi  menggantikan konsep 'Keluarga Malaysia' ketika pentadbiran perdana menteri Ismail Sabri Yaakob.

Pada 15 Jan lalu, sekumpulan pencarum KWSP meminta kerajaan mempertimbangkan satu lagi pengeluaran awal sehingga RM30,000.

Bagaimanapun, Anwar menolak gesaan itu, sambil menegaskan bahawa adalah lebih baik bagi kerajaan mencari kaedah dan jalan lain yang lebih berkesan bagi membantu rakyat yang terkesan serta kehilangan sumber pendapatan akibat wabak Covid-19 sebelum ini.

Dia berkata ini kerana kebanyakan pencarum memiliki jumlah simpanan yang sangat kecil dan jika kerajaan membenarkan pengeluaran sekali lagi, ia akan memberikan kesan kepada masa depan pencarum itu sendiri.

Anwar, ketika menjadi pembangkang, sebelum ini menyokong gerakan membenarkan pengeluaran awal KWSP pada Mac 2022, walaupun pada mulanya dia keberatan untuk berbuat demikian.

Ini, katanya, kerana kerajaan ketika itu gagal menggunakan tabung untuk menangani masalah kewangan rakyat dan menyediakan bantuan yang diperlukan.