JKNK beri perhatian isu aduan terhadap Hospital Pasir Mas
Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mengenal pasti wujudnya beberapa aspek memerlukan perhatian susulan isu aduan seorang wanita yang mendakwa anaknya menerima layanan tidak wajar oleh kakitangan Hospital Pasir Mas di Kelantan.
Pengarahnya Dr Zaini Hussin berkata, aspek yang perlu diberi perhatian adalah masalah komunikasi yang menyebabkan timbulnya masalah tersebut.
"Susulan itu pihak Hospital Pasir Mas akan menjalankan siasatan lanjut dan konsultasi bersama semua pihak terbabit termasuk pesakit dan keluarga.
"JKNK memandang serius terhadap insiden ini dan akan mengambil tindakan menyeluruh bagi memastikan penyampaian kesihatan berkualiti tinggi yang mengutamakan pelanggandengan menekankan sifat profesionalisme dan penyayang selaras dengan misi dan visi kementerian," katanya dalam kenyataan media.
Semalam Malaysiakini melaporkan pengguna Facebook Azimah Abdullah Zawawi dalam coretan panjang di platform media sosial itu meluahkan rasa kecewa dan tidak puas hati susulan kejadian menimpa anaknya yang menerima rawatan di hospital berkenaan.
Menurutnya, anak lelakinya cedera di bahagian muka dan mulut selepas terlibat dalam satu kemalangan motosikal dan dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Pasir Mas pada jam 3.45 petang, 14 Jan lalu.
"Anak saya dirujuk ke Klinik Pergigian Daerah dan menerima rawatan dari jam 4.45 petang sehingga jam 9 malam. Dalam masa rawatan tersebut, anak saya ditinggalkan keseorangan dengan mulut ternganga tanpa seliaan selama 30 hingga 40 minit.
"Setelah selesai mendapatkan rawatan jahitan daripada pegawai bertugas, anak saya dirujuk semula kepada doktor di unit kecemasan," katanya yang turut mendakwa anaknya hanya menerima rawatan di atas kerusi roda.
Sementara itu Zaini berkata, JKNK mengambil langkah proaktif dengan menjalankan siasatan awal terhadap hantaran yang tular itu.
"Laporan awal mendapati pesakit lelaki berusia 16 tahun telah menerima rawatan di Hospital Pasir Mas pada 14 Jan akibat kemalangan jalan raya.
"Diagnosis awal adalah motor vehicle accident with dental trauma (kemalangan kenderaan bermotor dengan trauma pada bahagian mulut) dan rawatan kecemasan diberikan. Kes ini juga dirujuk kepada Jabatan Bedah Mulut Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk rawatan kepakaran lanjut dan diberi temu janji segera," katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2021/01/4a928d0c36c20d07cd6e6da24ed9e28e.jpg)
