DAPSY sekali lagi cabar Pemuda MCA berdebat
Pemuda DAP (DAPSY) hari ini menghantar satu lagi surat jemputan kepada Ketua Pemuda MCA, Liow Tiong Lai supaya menyahut cabaran untuk berdebat mengenai sumbangan kedua-dua parti tersebut kepada pembangunan negara.
Pemuda DAP (DAPSY) hari ini menghantar satu lagi surat jemputan kepada Ketua Pemuda MCA, Liow Tiong Lai supaya menyahut cabaran untuk berdebat mengenai sumbangan kedua-dua parti tersebut kepada pembangunan negara.
Surat tersebut diserahkan oleh Penolong Setiausaha Kebangsaan DAPSY, Loh Chee Heng kepada ibupejabat Pemuda MCA di Wisma MCA di Jalan Ampang. Ia diterima oleh Setiausaha Kerja Pemuda MCA kebangsaan, Teo Han Lian, bagi pihak pergerakan tersebut.
Delegasi DAPSY turut disertai Penolong Setiausaha Publisitinya, Lau Weng San; Penolong Setiausaha Organisasinya, Kuan Perk Siong; dan Pengarah Pendidikan Politiknya, Ooi Leng Hang.
Dalam satu kenyataan, Loh berkata, Ketua Pemuda MCA, Datuk Liow Tiong Lai mendakwa di Machap minggu lalu bahawa DAP tidak memberi sebarang sumbangan kepada pembangunan negara sejak penubuhan parti itu 41 tahun yang lalu.
"Pada 25 Mac lalu, DAPSY menjawab kenyataan sensasi Liow itu dengan menjemput beliau berdebat dengan Ketua DAPSY, Nga Kor Ming di Machap mengenai sumbangan parti masing-masing dalam proses pembangunan negara.
"Sepucuk surat jemputan telah difaks kepada ibu pejabat Pemuda MCA pada 26 Mac lalu, untuk mengulangi cabaran kita untuk berdebat. DAPSY belum menerima sebarang jawapan rasmi daripada Pemuda MCA," kata Loh.
Putarbelit isu
Selepas itu, tambahnya, Pemuda MCA telah "memutarbelitkan" isu tersebut, menjadi "sama ada DAP mengamalkan budaya menindas di dalam parti tersebut".
"Pada hari Selasa, DAPSY mengecam Liow sebagai seorang 'pelarian politik' yang sentiasa lari daripada menyahut cabaran dan mengulangi bahawa Liow mesti bertanggungjawab terhadap kenyataannya itu dan memperjelaskannya dalam debat tersebut.
"Liow cuba mengelak daripada berdebat dengan Nga, dengan menggelar Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sebagai seorang "pelarian" kerana Lim sendiri tidak akan bertanding dalam pilihanraya kecil Machap.
"Kita hairan dengan tindakan tidak bertanggungjawab Liow dan Pemuda MCA dan kerana itu (kami) berkumpul hari ini di Wima MCA di Jalan Ampang untuk menyerahkan satu lagi jemputan kepada Liow untuk berdebat dengan Nga," katanya.
Menurut Loh, sekiranya Liow tidak mahu berdebat dengan Nga, maka "kita mencadangkan Lim Guan Eng berdebat dengan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting, kerana nama Lim turut diseret sama oleh Liow."
Reaksi Pemuda MCA
Sementara itu, dalam reaksi terhadap cabaran itu, Ketua Penerangan Pemuda MCA, Chai Kim Sen, yang juga Timbalan Setiausaha Pemuda MCA berkata, DAPSY tidak jujur dalam membuat jemputan berdebat itu.
Dalam satu kenyataan, beliau berkata, cara DAPSY menguruskan cabaran tersebut tidak serius dan 'biadap' kerana ia dihantar oleh 'seorang yang tidak dikenali langsung'.
Sebaliknya, kata beliau, cabaran itu sepatutnya dibuat oleh Setiausaha Kebangsaan DAPSY, Anthony Loke.
Oleh itu, kata Chai, pihaknya tidak akan melayan cabaran tersebut.

