'Dua ahli Umno adu ROS berani atau diperguna?' - Puad sindir KJ
Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Puad Zarkashi membidas tindakan dua ahli Umno yang membuat laporan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) berkaitan usul tiada pertandingan jawatan presiden dan timbalan presiden Umno.
Dalam hantaran di media sosial, Puad juga menyindir Khairy Jamaluddin kerana memuji tindakan dua ahli Umno berkenaan yang disifatkan bekas ahli parlimen Rembau itu sebagai ‘berani dan waras’.
"Berani atau dipergunakan? Sepatutnya orang ataslah yang buat aduan. itu baru berani namanya
"Jangan guna orang bawah apatah lagi kalau bekas pegawai sendiri. Itu waras ke?" kata Puad.
Semalam, Khairy memuji tindakan dua ahli Umno merujuk usul tiada pertandingan bagi jawatan presiden dan timbalan presiden Umno yang diluluskan parti itu baru-baru ini.
Bekas ketua Pemuda Umno itu malah menganggap mereka sebagai ahli Umno yang menjadi pemberani dan waras.
"Well done, guys. Ada yang masih berani dan waras dalam Umno," kata Khairy.
Terdahulu, dua ahli Umno berkenaan - Muhammad Fiqri Firdaus Muhammad Rom (ahli Umno Negeri Sembilan) dan Muhammad Aizat Fikri Mohd Nasir (Terengganu) - dilaporkan menghantar notis bantahan kepada ROS.
Mereka mendakwa usul tambahan berkaitan dua jawatan tertinggi Umno tidak dipertandingkan sebagai tidak sah dan bertentangan dengan Perlembagaan Umno.
Usul tambahan dalam PAU 2022 itu mendapat sokongan daripada Umno Terengganu, Selangor, Perwakilan Wanita dan Pulau Pinang.
Apabila usul berkenaan diundi pada hari terakhir persidangan, ia mendapat sokongan majoriti perwakilan.
Khairy merupakan antara tokoh Umno paling lantang mengkritik langkah tidak membuka pertandingan bagi jawatan presiden Umno dan timbalannya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/01/95fb7a3379bd17d470ee40d24c27f63b.jpg)
