Dr M dakwa Ramai peniaga Cina kembali ke negara asal
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata ramai peniaga Cina kembali ke negara asal mereka kerana peluang perniagaan di Malaysia semakin kurang kerana ekonomi yang merudum.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata ramai peniaga Cina kembali ke negara asal mereka kerana peluang perniagaan di Malaysia semakin kurang kerana ekonomi yang merudum.
Beliau berkata, fenomena ini semakin parah dan memberi kesan buruk kepada kestabilan ekonomi Malaysia.
"Sekarang ini sudah ramai yang pergi China dan sudah tentu jumlah itu bertambah 10 tahun akan datang.
"Saya bimbang jika mereka tidak kembali lagi ke Malaysia.
Kalau mereka pergi seorang, mereka akan balik semua, tetapi kalau sudah
berkahwin di sana, mereka tidak akan balik lagi," katanya.
Dr Mahathir berkata demikian ketika berucap di majlis forum rakyat kepimpinan Melayu di era globalisasi anjuran Umno cawangan Kulai Besar di Kulai semalam yang dihadiri kira-kira 500 orang.
"Saya tahu orang Cina ramai berniaga di Kulai, kalau mereka tutup perniagaan, apa jadi kepada orang Melayu," katanya.
Menurutnya, sebelum merdeka, orang Cina datang ke Malaya kerana banyak peluang perniagaan di negara ini.
'Kurang pelanggan'
Tetapi, hari ini katanya, peluang tersebut sudah merosot dan mereka bersungut kerana perniagaan mereka tiada pelanggan.
"Adakah orang Melayu sudah bersedia mengambilalih ruang yang ditinggalkan oleh peniaga Cina itu? Jawabannya orang Melayu belum bersedia.
"Jika ini berlaku, ekonomi negara kita akan merosot dan rakyat menjadi miskin kerana mereka tidak ada wang," katanya.
Dr Mahathir berkata, beliau baru balik dari China dan ada
kawan-kawan memberitahunya banyak peluang perniagaan di negara itu.
Menurutnya, orang Cina sejak sekian lama memainkan peranan yang cukup besar dalam pembangunan ekonomi, khususnya bidang perniagaan.
Beliau berkata, Dasar Ekonomi Baru (DEB) memang memberi keistimewaan kepada orang Melayu tetapi ramai orang Cina dan India yang menjadi kaya.
Katanya, inilah perkongsian bijak yang diamalkan sekian lama dan telah diterima baik oleh orang Melayu, Cina dan India.

