Kedudukan kewangan kerajaan kini lebih baik dan telah membolehkan kegiatan ekonomi digerakkan melalui perbelanjaan tambahan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurutnya, defisit kerajaan juga telah berkurangan daripada 5.6 peratus kepada 3.5 peratus pada masa ini.

"Sekarang ini, tahap debt servicing ratio (nisbah pembayaran hutang) kita pada tahap yang lebih selesa, jadi kita boleh belanja peruntukan kerajaan untuk terus menggerakkan ekonomi dan memberi keselesaan yang lebih kepada rakyat," katanya.

Menurut laporan Bernama, Najib memberitahu pemberita demikian selepas mempengerusi mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam.

"(Untuk itu) Kita telah mengambil keputusan bahawa projek-projek yang dikategorikan sebagai high impact dan projek-projek yang telah dijadualkan untuk dilaksanakan dalam RMK-9 hendaklah dilaksanakan.

Projek lebuhraya diteruskan

"Sebab itulah kita buat keputusan berhubung (untuk) meneruskan projek landasan kereta api berkembar serta Lebuh Raya Pantai Barat," tambahnya.

Katanya, projek-projek itu telah ditangguhkan beberapa tahun untuk dikaji dengan mendalam.

Kelmarin, Najib mengumumkan bahawa Kabinet telah membuat keputusan untuk

meneruskan projek pembinaan Lebuh Raya Pantai Barat (LPB) bernilai RM3.12

bilion yang menghubungkan Taiping, Perak dengan Banting, Selangor.

Sebelum ini kerajaan telah membuat keputusan meneruskan projek landasan kereta api berkembar antara Kuala Lumpur ke Padang Besar memandangkan laluan dari Rawang ke Ipoh telah siap dibina.

Najib berkata kebanyakan projek yang akan dilaksanakan itu adalah di bawah pembiayaan swasta menerusi konsep penswastaan dan tidak melibatkan peruntukan tambahan dari kerajaan.