Pembuat kereta Jerman, Volkswagen (VW), dikatakan telah membatalkan rancangan untuk mengadakan perkongsian dengan Proton Holdings Bhd.

Syarikat gergasi kereta itu menyampaikan keputusan itu kepada Khazanah Nasional Bhd, pemegang saham utama Proton, semalam, demikian menurut sebuah laporan dalam akhbar The Straits Times , yang memetik kenyataan seorang pegawai kanan kerajaan Malaysia tanpa menyebut namanya.

Menurut Bernama, laporan itu menyebut, VW telah memaklumkan kepada Khazanah bahawa mewujudkan platfrom pengeluaran di rantau Asia Tenggara bukanlah satu keutamaan baginya dan kali ini ia mahu memberikan tumpuan kepada usaha membina perniagaannya di Rusia dan India.

Satu pengumuman mengenai kegagalan rundingan penggabungan itu boleh dijangkakan seawal hari ini, kata laporan itu.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kerajaan mungkin tidak dapat menepati tarikh akhir yang ditetapkan pada penghujung Mac ini bagi menamakan rakan kongsi strategik pembuat kereta nasional itu.

Khazanah, cabang pelaburan kerajaan, memiliki 43 peratus kepentingan dalam Proton.

Komen MAA

Sementara itu, Bernama juga memetik Presiden Persatuan Automatif Malaysia (MAA) Datuk Aishah Ahmad sebagai berkata sebarang keputusan mengenai rakan strategik Proton Holdings Bhd tidak akan memberi sebarang kesan kepada industri kenderaan motor Malysia.

"Saya tidak fikir ia akan memberikan sebarang kesan serta merta ke atas pasaran," katanya, mengulas mengenai kemungkinan keputusan mengenai pihak mana akan menjadi rakan strategik Proton akan dibuat hari ini.

Ditanya sama ada Proton akan mengaut kembali perwakilan pasaran yang dilepaskannya kepada Perodua setahun lalu, Aishah berkata prestasi syarikat kenderaan kebangsaan itu bergantung kepada barisan terkini model keretanya yang diperkenalkan di pasaran.

"Selain bergantung kepada jualan Iswaranya, Proton mungkin melancarkan beberapa lagi edisi baru daripada model sedia ada dengan beberapa perubahan secara kosmetik, yang akan merangsang jualan tahun ini," katanya.

Pagi tadi, Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, berkata bahawa kerajaan tidak dapat membuat sebarang keputusan lagi mengenai perkara itu kerana opsyen rakan strategik Proton masih dalam peringkat penilaian.