Susulan insiden tembakan di Monterey Park, California hujung minggu lalu, MCA menggesa agar semua rakyat Malaysia yang tinggal di Amerika Syarikat (AS) berwaspada.

Dalam satu kenyataan, Timbalan Pengerusi Biro Komunikasi & Diplomasi Antarabangsa MCA Neow Choo Seong berkata California adalah lokasi popular yang dilawati oleh rakyat Malaysia.

“Oleh itu, kami sangat prihatin dan terganggu dengan tragedi yang begitu dahsyat.

“Kami ingin menggesa semua rakyat Malaysia di seluruh AS., terutamanya mereka yang tinggal di Monterey Park atau bandar-bandar berdekatan untuk terus berwaspada dan menghubungi perwakilan Malaysia terdekat untuk mendapatkan bantuan konsular sekiranya perlu,” katanya.

Neow turut menyeru pejabat Kedutaan dan Konsulat Malaysia memantau keadaan keselamatan dan memberikan bantuan konsular tepat pada masanya kepada warganegara Malaysia dari semasa ke semasa.

Insiden tembakan malam Sabtu di Monterey Park menyaksikan kematian 11 orang dan 9 lagi cedera.

Polis mengenal pasti Huu Can Tran, 72, sebagai suspek tunggal dalam insiden yang berlaku di tengah-tengah perayaan Tahun Baru Cina itu.

Bulan ini saja, AS telah menyaksikan 36 kes insiden tembakan.