Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sultan Johor titah ambil tindakan jika dakwaan isu bengkel SPM benar
Diterbitkan:  Jan 25, 2023 8:45 AM
Dikemaskini: 12:45 AM

Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menggesa tindakan diambil sekiranya benar dakwaan bahawa sebuah sekolah di negeri itu dengan sengaja mengecualikan pelajar bukan Islam daripada bengkel SPM baru-baru ini.

Sultan Ibrahim bertitah, begitu juga tindakan perlu diambil sekiranya dakwaan itu ternyata palsu.

“Tiada orang yang patut disisihkan daripada suatu program awam kerana agama atau bangsanya.

"Jika benar ada yang telah diasingkan kerana itu, maka tindakan perlu diambil kepada penganjur. Begitu juga jika didapati tuduhan adalah tidak benar dan dilemparkan oleh pihak tidak bertanggungjawab,” titah Baginda dalam satu kenyataan malam tadi.

Kecoh di media sosial sebelum ini susulan dakwaan bahawa pelajar bukan Islam di SMK Infant Jesus Convent sengaja dikecualikan daripada bengkel SPM - yang diadakan di sebuah hotel - pada 19 dan 20 Jan.

Pengguna Twitter Anne Louis, yang mendedahkan perkara itu, mendakwa pada mulanya bengkel itu diadakan hanya untuk pelajar Islam dengan berselindung bahawa ia hanya meliputi mata pelajaran Pengajian Islam.

Katanya, hanya setelah itu, baru diketahui bahawa subjek SPM lain, seperti Kimia dan Matematik Tambahan, turut diliputi dalam bengkel itu.

Dia berkata ibu bapa dalam PIBG yang tidak berpuas hati kemudiannya bertanyakan perkara itu dengan guru besar di kumpulan WhatsApp. Guru besar dikatakan menjelaskan bahawa bengkel itu merupakan langkah sekolah untuk membantu kira-kira 40 pelajar Melayu yang berisiko gagal dalam peperiksaan SPM.

Guru besar itu dilaporkan telah menafikan unsur perkauman dalam perkara itu, dan menjelaskan bahawa satu-satunya niat adalah untuk mengekalkan status sekolah itu sebagai institut berprestasi tinggi.

Bagaimanapun, kenyataan Kementerian Pendidikan kemudiannya mendakwa bengkel SPM itu diadakan berasingan bagi mengelakkan mengganggu pelajar yang membuat persiapan menyambut Tahun Baru Cina.

Kementerian juga berkata sesi kedua bengkel itu dijadualkan berlangsung pada 26 dan 27 Jan untuk pelajar lain yang tidak turut serta sebelum ini.

Sementara itu, Sultan Ibrahim dalam titah baginda mengingatkan bahawa isu-isu seperti ini perlu ditangani dengan pantas bagi mengekalkan keharmonian masyarakat.

"Saya tidak mahu Bangsa Johor keliru dan mula berburuk sangka antara satu sama lain. Saya cukup menitik beratkan betapa pentingnya untuk persefahaman, perpaduan dan toleransi antara kaum kita yang pelbagai.

“Jabatan Pendidikan mesti bertindak pantas untuk menangani situasi sebegini agar tidak menular emosi negatif serta perkara tidak sahih dalam kalangan rakyat.

"Ini juga merupakan pengajaran kepada semua pihak yang perlu menangani rasa tidak puas hati mereka,” katanya.

Lihat Komen
ADS