Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rayer mahu penjelasan kenapa polis siasat pembantu Rara
Diterbitkan:  Jan 25, 2023 1:24 PM
Dikemaskini: 7:51 AM

Anggota Parlimen Jelutong RSN Rayer hari ini menuntut polis dan menteri dalam negeri memberi penjelasan berhubung siasatan terhadap pembantu rakan sejawatnya dari Bentong, Noor Suhana Ishak.

Wakil rakyat lantang dari DAP itu berkata dia tidak tahu apa kesalahan dibuat pembantu Young Syefura Othman terbabit apabila dia mengaitkan Pemuda Umno dengan kekecohan semasa ceramah parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) tahun lepas.

"Apakah yang begitu menyinggung perasaan mengenai tweet (ciapan) Saudari Noor Suhana Ishak?” soalnya dalam kenyataan hari ini,

Terdahulu media melaporkan Noor Suhana dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya bagi memberikan keterangan susulan ciapan yang mendakwa Pemuda Umno melakukan kekecohan pada ceramah Muda pada 16 Okt tahun lalu.

Noor Suhana mendakwa Pemuda Umno Muar terlibat dalam kekecohan yang ketika ceramah di Parit Jawa, Muar berkenaan.

Sehari selepas itu, Ketua Pemuda Umno Muar, Mohd Helmy Abd Latif, membuat laporan polis terhadap Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dan beberapa pemimpin parti berkenaan yang membuat tuduhan terhadap mereka.

Dalam kekecohan ceramah berkenaan, kira-kira 20 orang muncul dengan motosikal dan mencetuskan perang mulut dengan ahli dan penyokong Muda ketika Syed Saddiq memberikan ucapan.

Beberapa ahli kumpulan terbabit menuduh Syed Saddiq sebagai "penipu" ketika dia bercakap mengenai sumbangannya kepada pengundi Muar pada penggal lalu.

Seorang daripada kumpulan itu berulang kali melaungkan "penipu" dan penyokong Muda membalasnya dengan menyuruh mereka "balik".

Sementara itu Rayer juga berpendapat tindakan polis menyiasat Noor Suhana itu sebagai membazirkan masa, tenaga dan sumber pasukan keselamatan terbabit.

"Bukankah pihak polis sepatutnya menyiasat sama ada benar atau tidak kekecohan itu berlaku semasa ceramah yang dianjurkan oleh Muda tahun lalu dan siapakah yang bertanggungjawab memulakan kekecohan tersebut?" soalnya.

‘Sangat hairan dan terkejut’

Sementara itu, Ketua Penerangan Muda Luqman Long "sangat hairan dan terkejut" dengan tindakan polis memanggil Noor Suhana.

Katanya, siasatan polis sepatutnya bertumpu kepada "dalang" di sebalik kekecohan yang berlaku dalam ceramah tersebut.

"Apakah maklum balas dan perkembangan terkini siasatan polis dalam kes itu?

"Siasatan terhadap Noor Suhana ini bukan sahaja tidak penting, malah ia membazirkan begitu banyak masa yang sepatutnya digunakan untuk bantu cari dalang yang sebenar," katanya dalam kenyataan.

Lihat Komen
ADS