Kakitangan PBT mengaku tak bersalah beri keterangan palsu
Seorang kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini atas tuduhan memberi keterangan palsu di mahkamah.
Mohd Hadaffy Mokhtar Ruzaini, 43, dituduh memberi kenyataan tidak selaras dengan pernyataan diberikan kepada penolong penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka Mohd Rosly Mohd Saupi semasa perbicaraan kes pendakwa raya lawan Kalvinderjit Singih a/l Jit Singh di Mahkamah Sesyen 1 Ayer Keroh pada 2.40 petang hingga 3.30 petang, 18 Jan lepas.
Dia dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 27(2) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya.
Timbalan pendakwa raya Wan Shaharuddin Wan Ladin menawarkan jaminan antara RM3,000 hingga RM5,000 serta seorang penjamin dalam kalangan bukan ahli keluarga kerana ia satu kesalahan serius di mata masyarakat.
Peguam tertuduh, Azrul Zulkifli Stork, memohon jaminan dikurangkan memandangkan Mohd Hadaffy masih lagi bertugas di agensi berkenaan.
Hakim Elesabet Paya Wan membenarkan jaminan sebanyak RM4,000 dan memerintahkan tertuduh melaporkan diri di pejabat SPRM Melaka sekali sebulan.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2021/11/061bb6d4825ffda509539d2d5143fafd.jpg)
