ISA: Dakwaan Shabery tidak benar, kata Angkatan Muda PKR
Angkatan Muda Keadilan(AMK) menegaskan bahawa dakwaan Setiausaha Parlimen Kementerian Luar Shabery Cheek bahawa tiada desakan agar Kem Kamunting ditutup atau Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA) dimansuhkan, adalah tidak benar sama sekali.
Angkatan Muda Keadilan(AMK) menegaskan bahawa dakwaan Setiausaha Parlimen Kementerian Luar Shabery Cheek bahawa tiada desakan agar Kem Kamunting ditutup atau Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA) dimansuhkan, adalah tidak benar sama sekali.
Sebaliknya, Naib Ketuanya, Sharifah Shahidah Syed Kamaruzaman berkata, lebih 100 memorandum dan beratus-ratus desakan telah dihantar kepada Suhakam dan Parlimen oleh badan bukan kerajaan (NGO) dalam dan luar negara, parti politik, ahli keluarga tahanan ISA dan rakyat Malaysia, mendesak agar ISA dihapuskan dan kem Kamunting ditutup.
Sehubungan itu, tegasnya, AMK memandang kenyataan Shabery ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Seputeh Teressa Kok di Dewan Rakyat bahawa kem tahanan ISA itu tidak melakukan pencabulan hak asasi sebagaimana yang dilakukan oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas tahanan di Guatanamo.
Sharifah Shahidah menyifatkan kenyataan Shabery itu sebagai pemutarbelitan kata-kata yang amat jelas bertentangan dengan keadaan sebenar mengenai pencabulan hak asasi dan desakan pemansuhan undang-undang tersebut.
"Pencabulan Hak Asasi yang paling mencolok dalam undang-undang ISA ialah hak seseorang untuk dibicarakan," katanya dalam satu kenyataan.
Pencabulan
Menurutnya, hak manusia untuk membela diri atas apa juga pendakwaan yang dilemparkan adalah asas utama yang jelas dan terang, tidak digunapakai dalam perlaksanaan undang-undang ISA.
"Memang ianya berbeza dengan Guatanamo kerana isunya bagi mereka ialah tidak mendapat perbicaraan yang adil. Tetapi di Malaysia langsung tidak dibicarakan," tambahnya.
Menurutnya, beberapa buah buku mangsa ISA pula seperti Dua Wajah, tulisan Dr Syed Husin Ali dan koleksi lapan buku Sengsara Kem Kemunting tulisan Haji Saari Sungip juga mendedahkan tentang pelanggaran hak asasi.
Katanya, ia melibatkan seksaan dan pembulian yang melibatkan tindakan fizikal dan mental seperti berbogel, ugutan, cercaan, dan pukulan fizikal.
"Dalam hal ini, bagi kami, isu yang penting bukan hanya menutup Kem Tahanan Kamunting tetapi menghapuskan ISA yang terbukti amat berpotensi mencabul dan tidak menghormati harga diri manusia yang bebas dan merdeka," tambahnya.

