Keputusan kerajaan membawa masuk pakar dari luar negara merupakan langkah yang diamalkan sejak puluhan tahun, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.

Katanya, cadangan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk mengambil khidmat nasihat dari Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) Singapura sepatutnya dialu-alukan.

Ini katanya bagi membantu KPKT membolehkan rumah mampu milik dimiliki golongan M40 dan B40.

"Sejak puluhan tahun Malaysia merujuk kepakaran asing seperti Jepun, negara barat dan Singapura bagi membantu kerajaan dan juga swasta tanpa kontroversi.

"Mengapa sekarang menjadi isu, yang dibesar-besarkan berkenaan perumahan jika ia boleh membantu golongan yang kurang berkemampuan termasuk majoritinya orang Melayu?

"Pemikiran sempit dan sikap negatif pihak tertentu boleh membantutkan dan menggagalkan usaha membolehkan lebih ramai golongan kurang mampu untuk memiliki tempat kediaman pertama mereka, termasuk ramai orang Melayu," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dia merujuk kenyataan beberapa pihak yang sebelum ini mengecam Menteri KPKT, Nga Kor Ming dengan mendakwa dia mempunyai agenda perkauman untuk menindas masyarakat Melayu-Islam menerusi tindakan membawa pakar tersebut untuk berkongsi kepakaran mengenai program perumahan di Malaysia.

Berkongsi pengalamannya di KPKT dan sebagai arkitek profesional, Raja Kamarul berkata pada 2018, terdapat GLC perumahan yang bertanggungjawab untuk pembinaan perumahan kos rendah dan sederhana terpaksa menjalankan penstrukturan kerana bilangan kakitangan sekitar 350 orang berbanding pihak swasta yang hanya sekitar 30 kakitangan.

"Harga pembelian tanah projek pula jauh lebih tinggi dari harga pasaran dan lokasi projek jauh terpencil tanpa pengangkutan awam," tambahnya.

‘Campur tangan pihak luar’

Katanya, kelemahan pengurusan bukan merupakan salah pegawai kerajaan sebaliknya disebabkan campur tangan 'pihak luar' yang 'berpengaruh'.

"Akibatnya unit-unit tersebut terlalu mahal dan tidak mampu dibeli oleh orang awam berpendapatan rendah yang ramainya Melayu. Ini adalah satu contoh masalah.

"Tiada niat pihak kerajaan untuk menyalahkan pegawai kerajaan kerana ini merupakan banyak campur tangan pihak lain yang menggunakan pengaruh mereka," katanya.

Katanya, HDB, seperti juga perunding tempatan atau antarabangsa negara lain hanya sebagai penasihat namun KPKT yang akan membuat keputusan.

Untuk rekod, Pada 17 Jan lalu, Nga dalam temu bual dengan Astro Awani mengumumkan bahawa kerajaan Singapura telah bersetuju membenarkan kontraktor HDB untuk "memasuki’ KPKT bulan depan bagi berkongsi kepakaran mereka.

Ini mendorong ahli majlis tertinggi Bersatu, Faiz Na'aman mendakwa tindakan Nga mengancam kedaulatan negara, manakala Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan pula memberi amaran bahawa nasib Bumiputera akan berisiko jika model HDB dilaksanakan.