Tengku Razaleigh terlepas peluang sertai kabinet Dr M...
Tengku Razaleigh Hamzah terlepas peluang kembali menyertai kabinet Tun Dr Mahathir Mohamad ekoran temubual bekas menteri kewangan itu dengan majalah Far Eastern Ecomomic Review (FEER), kata bekas Perdana Menteri itu hari ini.
Tengku Razaleigh Hamzah terlepas peluang kembali menyertai kabinet Tun Dr Mahathir Mohamad ekoran temubual bekas menteri kewangan itu dengan majalah Far Eastern Ecomomic Review (FEER), kata bekas Perdana Menteri itu hari ini.
"Kerana temubual beliau dalam FEER (ketika itu), saya reviu balik
(pelantikannya dalam kabinet)," kata Dr Mahathir berseloroh ketika berucap di
satu majlis di Universiti Malaya (UM) petang tadi.
Bekas Perdana Menteri itu menyampaikan ucapan selepas Tengku Razaleigh menyampai ceramah agung bertajuk 'Pemikiran dan visi Tun Abdul Razak dalam pembinaan negara-bangsa Malaysia merentas sempadan' di majlis yang sama hari ini.
Majlis tersebut dianjurkan oleh Persekutuan Badan Pendidikan dan Pembangunan Melayu dan dihadiri kira-kira 300 orang, termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Naib Canselor UM, Datuk Rafiah Salim.
Dr Mahathir berkata, Tengku Razaleigh (foto) pernah cuba menjatuhkan
beliau dari jawatan Presiden Umno dan Perdana Menteri, tetapi beliau tidak
berdendam.
Tengku Razaleigh mencabar Dr Mahathir bagi jawatan Presiden Umno dalam pemilihan parti itu pada 1987. Bagaimanapun, bekas menteri kewangan itu kalah tipis kepada Dr Mahathir.
Akibat krisis dalam parti itu, maka wujud puak-puak dalam Umno yang dikenali sebagai 'Team A' yang dipimpin oleh Dr Mahathir dan 'Team B' yang dipimpin oleh Tengku Razaleigh.
'Umno diharamkan'
Antara pemimpin Umno ketika itu yang bersama 'Team B' adalah Perdana Menteri sekarang, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi; bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam; Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Rais Yatim dan Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Zainal Abidin Zin.
Ekoran keputusan mahkamah mengisytiharkan Umno haram, maka Tengku Razaleigh telah menubuhkan Parti Semangat 46 (S46) manakala Dr Mahathir pula menubuhkan Umno (baru).
Sepuluh tahun kemudiannya, parti S46 dibubarkan dan Tengku Razaleigh bersama penyokongnya menyertai Umno (baru) pimpinan Dr Mahathir.
Sementara itu, Dr Mahathir berkata, walaupun wujud berbeza pendapat, tetapi mereka mempunyai halatuju yang sama dan boleh berbaik semula.
Menurutnya, beliau tidak boleh mengenepikan orang yang cuba menjatuhkan dirinya apabila orang berkenaan juga mempunyai pendirian yang sama dengannya.
"Banyak orang dalam kabinet saya yang pernah cuba menjatuhkan saya, malah ada yang jadi `raja' sekarang," katanya lagi.
Kembali kepada Umno
Dr Mahathir berkata, beliau sangat berterima kasih kepada Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein kerana membawanya kembali semula ke pangkuan Umno selepas dipecat dari parti itu.
Katanya, jika bukan kerana Tun Razak, mustahil beliau akan kembali semula ke pangkuan Umno.
"Beliau yang melantik saya menjadi Menteri Pelajaran ketika itu," katanya.
Dr Mahathir berkata, sebab itu, semasa menjadi Perdana Menteri, beliau cuba melaksanakan visi Tun Razak.
Katanya, oleh kerana masa yang berbeza, maka ada sedikit sebanyak perbezaan antara visi Abdul Razak dan keadaan di zaman pemerintahannya.
Mengenai pembangunan ekonomi Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI), Dr Mahathir secara sinis berkata pemimpin sekarang seolah-olah berpemikiran lebih pandai daripada Tun Razak.
"Mengapa serah Johor saja...serah juga Kedah, Terengganu dan Kelantan," katanya dengan sinis, sambil menambah: "Mudah saja nak negara kita maju, suruh pelabur Jepun dan Korea Selatan datang melabur dan negara kita pasti maju tetapi bukan hak Malaysia.".

