Kontrak perkhidmatan Zulkipli tidak dilanjutkan
Kontrak perkhidmatan Datuk Seri Zulkipli Mat Noor sebagai Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang berakhir esok, tidak dilanjutkan.
Kontrak perkhidmatan Datuk Seri Zulkipli Mat Noor sebagai Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang berakhir esok, tidak dilanjutkan.
Pengumuman tersebut dibuat dalam satu kenyataan Pejabat Perdana Menteri malam ini.
Zulkipli, ketika ini menghadapi siasatan polis berikutan dakwaan beliau mengamalkan rasuah dan salahguna kuasa ketika memegang jawatan itu.
Dalam kenyataan yang diterima Bernama, kerajaan mengucapkan penghargaan terhadap perkhidmatan Zulkipli sejak dilantik sebagai Ketua Pengarah BPR secara pinjaman pada April 2001, dan seterusnya dilanjutkan secara kontrak pada Julai 2005.
Katanya, di bawah kepimpinan Zulkipli, pelbagai usaha proaktif dan pembaharuan dilaksanakan, termasuk mempertingkatkan jaringan kerjasama di peringkat antarabangsa.
Sehubungan itu, tambah kenyataan tersebut, kerajaan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas perkhidmatan Zulkipli sebagai Ketua Pengarah BPR.
Beberapa dakwaan daripada perbuatan rasuah hingga kepada jenayah seksual telah dibuat terhadap Zulkipli oleh salah seorang bekas pegawai BPR.
Dakwaan tersebut terkandung dalam satu laporan yang dibuat tahun lalu oleh bekas pegawai BPR, Mohamad Ramli Manan kepada Ketua Polis Negara (KPN) ketika itu, Tan Sri Mohd Bakri Omar.
'Laporan maklumat awal' yang dibuat oleh Ramli itu didedahkan oleh Pengerusi Gerakan Demokrasi dan Anti Rasuah (Gerak), Ezam Mohd Nor dalam satu sidang akhbar di Kelana Jaya baru-baru ini.
Dalam laporan itu Ramli mendakwa Zulkipli memiliki harta yang tidak sepadan dengan sumber pendapatannya'.

