Polis akan tahan pendaki Everest untuk siasatan kes tipu
Polis akan menyoal siasat seorang anggota kumpulan pendaki negara ke Gunung Everest kerana didakwa menggunakan kad pengenalan kakak dan abang iparnya untuk tujuan menipu dalam menubuhkan 22 syarikat, termasuk yang membawa masuk pelajar asing ke negara ini.
Polis akan menyoal siasat seorang anggota kumpulan pendaki negara ke Gunung Everest kerana didakwa menggunakan kad pengenalan kakak dan abang iparnya untuk tujuan menipu dalam menubuhkan 22 syarikat, termasuk yang membawa masuk pelajar asing ke negara ini.
Lelaki berusia 42 tahun itu adalah rakyat Malaysia pertama tiba di puncak Everest melalui Tibet dan meletakkan Jalur Gemilang di puncak gunung itu pada 15 Mei tahun lalu.
Dia dikehendaki polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan dan Pendaftar Syarikat (ROC) berikutan dakwaan penipuan sejak tahun lalu, demikian menurut laporan Bernama.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor ACP Omar Mammah berkata, pemeriksaan polis dengan ROC mendapati pendaki gunung itu telah memperdayakan ROC.
"Terdapat sembilan laporan polis yang dibuat oleh abang ipar pendaki gunung itu berhubung kegiatan penipuan sejak Mei tahun lalu. Tapi saya terkejut apabila mendapat tahu tiada tindakan diambil berhubung dakwaan itu.
"Suspek kini berada di Kathmandu untuk misi keduanya menguasai Gunung Everest. Kami akan tahan dia sebaik dia kembali ke negara ini. Polis serius dengan perkara ini," katanya kepada Bernama hari ini.
Omar berkata, abang ipar lelaki itu telah membuat rayuan di pejabat Ketua Polis Negara (KPN) tahun lalu apabila Ibu Pejabat Polis Ampang, iatu tempat laporan polis berhubung perkara itu dibuat, gagal mengambil sebarang tindakan.
"Kami menerima surat daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan baru-baru ini yang mengarahkan supaya mempercepatkan tindakan terhadap perkara ini dan KPN serius mengenainya. Tapi memandangkan suspek kini berada di Kathmandu, kami perlu menunggu dia pulang," katanya.
Hidup dalam ketakutan
Sementara itu, abang ipar pendaki itu, R.Sathasivam, 47, memberitahu Bernama bahawa beliau dan isterinya kini hidup dalam ketakutan berikutan nama mereka disenaraikan sebagai pengarah 22 syarikat.
"Saya ada gerai makan di Kuala Pilah enam tahun lalu, tapi perniagaan saya tutup dan saya menganggur untuk beberapa waktu sebelum suspek berjumpa saya dan berjanji untuk mencarikan kerja yang lebih baik serta mendapatkan unit rumah pangsa untuk saya. Dia minta kami memberikan salinan kad pengenalan kami untuk menyediakan dokumen.
"Malangnya janji itu tidak ditunaikan. Pada awal November 2005, saya dapat tahu nama saya disenaraikan sebagai pengarah beberapa syarikat tanpa persetujuan saya...jika betul saya pengarah, saya tidak akan bekerja sebagai pengawal keselamatan sekarang," kata Sathasivam.
Beliau mendakwa bahawa maklumat pengenalan isterinya turut digunakan tanpa kebenaran oleh pendaki gunung itu untuk mendapatkan pas lawatan sosial bagi pelajar Korea.
Sathasivam berkata, beliau juga menerima ugutan daripada orang yang tidak dikenali supaya menarik balik laporan polis berhubung kegiatan penipuan oleh suspek dan tiga bulan lalu beliau diserang dua lelaki yang tidak dikenali, hanya kira-kira 500 meter daripada Balai Polis Ampang.
"Serangan itu berlaku kira-kira jam 10.30 malam, dua lelaki yang memakai topi keledar yang menutup muka menendang dan menumbuk saya. Paling teruk apabila muka dan badan saya dicederakan dengan senjata tajam oleh mereka.
"Mereka menggunakan bahasa kasar terhadap saya dan minta saya tarik balik laporan polis. Saya lari ke balai polis Ampang sebelum pengsan di hadapan pondok pengawal. Saya diangkat masuk dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan," katanya.
Misi terbaru suspek ialah pendakian solo pertama dari Asia Tenggara yang menawan Gunung Everest melalui laluan selatan yang menghadap Nepal. Pendakian untuk projek amal itu dikenali sebagai Projek Ekspedisi Solo TR Everest untuk Kebajikan 2006.

