Penamatan kontrak tiada kaitan dengan siasatan, kata Zulkipli
Datuk Seri Zulkipli Mat Noor berkata penamatan kontraknya sebagai ketua pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) tidak ada kaitan dengan siasatan terhadap dakwaan salahguna kuasa dan rasuah terhadapnya.
Datuk Seri Zulkipli Mat Noor berkata penamatan kontraknya sebagai ketua pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) tidak ada kaitan dengan siasatan terhadap dakwaan salahguna kuasa dan rasuah terhadapnya.
"Tiada kena mengena langsung. Siasatan telahpun berjalan sebelum kontrak tamat, so please don't speculate anything...saya sentiasa beri kerjasama sepenuhnya kepada polis," katanya.
Itu komen beliau ketika dihubungi Bernama mengenai pengumuman penamatan kontraknya sebagai Ketua Pengarah badan itu oleh Pejabat Perdana Menteri semalam.
"Saya terima keputusan penamatan kontrak selaku Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) dengan hati yang terbuka. Saya sudah melaksanakan tanggungjawab selaku Ketua Pengarah BPR at my level best," katanya.
Zulkipli berkata kepercayaan yang diberikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika melanjutkan kontraknya selaku Ketua Pengarah BPR merupakan penghargaan tertinggi bagi dirinya.
"Pelantikan pinjaman saya selaku Ketua Pengarah BPR selama tiga kali jelas menunjukkan keyakinan PM terhadap saya. Saya amat berterima kasih kepada beliau.
Beri peluang
"Dengan tamatnya kontrak ini, ia akan memberi ruang kepada calon-calon lain untuk menerajui BPR dengan lebih efektif. My advice (to successor) is to work as a team always (Nasihat saya (kepada pengganti) ialah sentiasa bekerja sebagai satu pasukan)," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Zulkipli, 57, yang mempunyai ijazah Sains Politik dan Ekonomi Perbandingan dari Universiti Kansas Amerika Syarikat serta Ijazah Sarjana dalam bidang Hubungan Antarabangsa dan Kajian Strategik dari Universiti Lancaster, United Kingdom, menyertai Polis Diraja Malaysia di penghujung tahun 1960-an, sebagai pegawai di Bahagian Cawangan Khas hingga menjawat jawatan Ketua Unit itu.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Polis Johor selama setahun pada 1996 dan kemudian dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Sarawak pada 2000.
Beliau mula dilantik secara pinjaman sebagai Ketua Pengarah BPR mulai 1 April 2001 hingga 31 Mac 2003.
Pelantikan pinjaman beliau dilanjutkan sebanyak tiga kali iaitu dari 1 April 2003 hingga 31 Mac 2004, dari 1 April 2004 hingga 31 Mac 2005, dan dari 1 April 2005 hingga 19 Julai 2005 apabila beliau bersara wajib.
Seterusnya perkhidmatan beliau sebagai Ketua Pengarah BPR dilanjutkan secara kontrak dari 20 Julai 2005 hingga 19 Julai 2006, dan dari 20 Julai 2006 hingga hari ini, 31 Mac 2007.
'Pengundi hantu'
Dalam perkembangan terbaru mengenai siasatan terhadap Zulkipli, polis semalam mengesahkan sudah mula merakam percakapan dan merekodkan kenyataan beliau Rabu lepas bagi membantu siasatan terhadap dakwaan rasuah dan salah guna kuasa dan sehingga ini telah mengambil keterangan daripada 21 saksi.
Bekas pengarah BPR Sabah, Mohamad Ramli Abdul Manan membuat beberapa dakwaan terhadap Zulkipli, termasuk mengamalkan rasuah, memiliki harta dan aset yang tidak sepadan dengan sumber pendapatan serta menyalahgunakan kenderaan kerajaan.
"Kini saya boleh berehat dan menumpukan perhatian kepada perkara lain, terutamanya keluarga.
"Saya tidak mungkin dapat menjalankan tugas saya selaku Ketua Pengarah BPR, tanpa persefahaman dan kerjasama daripada pegawai-pegawai saya.
"Saya akan beritahu media jika ada (majlis) perpisahan untuk saya, jangan risau," katanya.

