'Noh sepatutnya kekal dalam Umno dan rayu penggantungannya'
Habibah Mohd Yusof, calon BN Tanjong Karang yang didakwa disabotaj oleh Noh Omar semasa pilihan raya umum lalu, melahirkan rasa kesalnya berhubung episod politik baru-baru ini yang menyaksikan bekas pengerusi perhubungan Umno Selangor itu dipecat daripada parti itu.
Bercakap kepada Malaysiakini, Habibah berkata dia percaya Noh sepatutnya memilih untuk kekal dalam Umno dan menerima keputusan majlis tertinggi parti itu untuk menggantungnya, dan bukannya meminta pucuk pimpinan memecatnya.
“Secara peribadi, saya benar-benar berasa kecewa apabila dia pergi ke arah ini (memilih untuk dipecat daripada Umno).
"Jika dia benar-benar sayangkan parti, dia patut terima sahaja penggantungan. Dan dia masih boleh merayu keputusan itu nanti. Tak perlu untuk dia cabar (kepimpinan parti)," katanya kesal.
Malaysiakini menghubungi Habibah untuk mendapatkan respons terhadap keputusan majlis tertinggi Umno pada Jumaat lalu yang memecat Noh berhubung isu disiplin.
Noh antara lain didakwa mensabotaj parti itu semasa pilihan raya umum ke-15 dan meletakkan proksi untuk bertanding menentang Habibah sebagai calon bebas di Tanjong Karang. Bagaimanapun pertuduhan itu dinafikan Noh.
Bercakap mengenai dakwaan sabotaj itu, Habibah berkata dia kecewa dengan apa yang berlaku sepanjang tempoh kempen PRU15.
Menurut Ketua Wanita Umno Tanjong Karang itu, Noh dalam banyak keadaan mengkritik parti itu dan presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapannya.

Bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang itu juga tidak memperkenalkan Habibah kepada penyokong semasa pelancaran jentera pilihan raya BN Tanjong Karang pada 4 November, katanya.
“Memang mengecewakan melihat semua perkara ini berlaku. Saya telah menonton banyak ucapan beliau di media sosial, ada juga yang dihantar kepada saya oleh rakan-rakan saya dalam parti ini.
"Dia kata dia seorang yang setia kepada parti, tetapi dia buat semua ini. Dan isu itu akhirnya sampai kepada kepimpinan parti. Saya juga tidak tahu siapa yang membuat laporan terhadapnya, tetapi dia perlu jawab," katanya.
Agenda parti lebih penting
Habibah berkata dia dapat memahami bahawa Noh kecewa kerana tidak dipilih oleh parti untuk mempertahankan kerusinya.
Bagaimanapun, tambahnya, Noh harus menerima keputusan Umno kerana agenda parti adalah lebih penting.
"Apabila saya dipilih untuk bertanding di kerusi itu, saya hanya menjadi orang tengah kepada parti. Saya bertanding di bawah bendera parti.
"Saya bukan sesiapa. Bagi saya, parti ini yang penting, jadi kita mesti setia kepada parti," katanya.
Noh ialah bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang dan memegang jawatan itu selama enam penggal berturut-turut sehingga Umno menggugurkannya sebagai calon dan menggantikannya dengan Habibah.
Habibah tewas kepada Zulkafperi Hanapi dari Perikatan Nasional dalam pilihan raya berkenaan, sekali gus merupakan kali pertama Umno tewas di kerusi Tanjong Karang.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2021/04/d4239cf44d1b985c8d3ded6dd6511b67.jpg)
