Musa tidak faham mengapa laporan polis tidak disiasat
Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata beliau tidak faham kenapa tiada tindakan diambil terhadap laporan polis yang dibuat sejak tahun lalu ke atas seorang pendaki Everest dari Malaysia yang didakwa melakukan pemalsuan.
Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata beliau tidak faham kenapa tiada tindakan diambil terhadap laporan polis yang dibuat sejak tahun lalu ke atas seorang pendaki Everest dari Malaysia yang didakwa melakukan pemalsuan.
"Saya mahu pegawai penyiasat yang bertanggungjawab bertindak serta-merta ke atas kes ini. Ini arahan saya. Keadilan mestilah dilaksanakan dengan seadilnya.
"Saya ingin memberi jaminan polis akan memberi perlindungan penuh kepada mangsa dan keluarganya. Ini adalah sebahagian tanggungjawab polis," katanya dalam laporan Bernama.
Bernama melaporkan kelmarin abang ipar lelaki berkenaan membuat sembilan laporan polis mengenai penipuan yang didakwa dilakukan oleh pendaki gunung itu tetapi tiada tindakan diambil terhadapnya.
Musa berkata, beliau belum menerima laporan penuh kes itu dari Ketua Polis Selangor Datuk Ismail Omar.
"Jabatan Siasatan Jenayah Komersil juga akan membantu Polis Selangor dalam penyiasatan mereka dan mangsa pula perlulah bersedia untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada kami apabila diperlukan," katanya.
Tiada layanan istimewa
Pendaki gunung itu didakwa memalsukan kad pengenalan kakak dan abang iparnya untuk menubuhkan sehingga 22 syarikat, satu daripadanya didakwa terlibat membawa masuk pelajar asing ke negara ini.
Sehubungan itu, Musa berjanji akan memastikan satu siasatan rapi tanpa layanan istimewa dijalankan terhadap pendaki berkenaan.
"Tidak kira anda siapa, kesalahan tetap kesalahan. Dan jika anda telah melakukan jenayah, polis tidak akan memberikan layanan istimewa," katanya.
Sementara itu, Ismail berkata polis akan memanggil beberapa orang minggu ini untuk membantu siasatan.
"Kami akan merakamkan kenyataan pekerja syarikat suspek. Saya juga mengarahkan Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang menahan beberapa suspek yang menyerang abang ipar pendaki gunung itu (Disember lalu).
Menurut Ismail lagi, polis juga akan mendapatkan kerjasama penganjur misi terbaru suspek untuk menakluk puncak Everest, yang merupakan satu projek amal.

