Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Satu pertiga kerusi parlimen buat Sabah, Sarawak masih dibincangkan’
Diterbitkan:  Feb 2, 2023 11:34 AM
Dikemaskini: 3:34 AM

Isu berkaitan komposisi satu pertiga kerusi Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat seperti yang termaktub pada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) masih di peringkat perbincangan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata penyelesaian perkara itu akan mengambil masa dua hingga tiga tahun kerana ia perlu melalui banyak peringkat yang melibatkan pelbagai pihak, termasuk tiga jawatankuasa utama iaitu Jawatankuasa Urusetia MA63; Jawatankuasa Teknikal MA63 dan Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63.

Beliau berkata Jawatankuasa Teknikal MA63 yang dipengerusikan beliau sendiri akan membincangkan perkara MA63 berdasarkan topik, dan memberikan keutamaan kepada isu-isu yang tidak melibatkan masalah undang-undang mahupun teknikal yang mendalam.

“Apabila diputuskan di peringkat teknikal, barulah ia dibawa ke Majlis Tindakan Pelaksanaan untuk kelulusan terakhir, supaya dibawa ke Kabinet dan akhirnya dibawa ke kementerian-kementerian untuk membuat pindaan kepada segala undang-undang berkaitan.

“Jadi proses itu masih panjang. Kita juga kena dapatkan persetujuan Kabinet, lepas itu dibawa ke Parlimen, dan Parlimen pula memerlukan persetujuan dua pertiga. Kalau tidak disetujui, maka ia tidak boleh lulus,” katanya kepada pemberita selepas program temu bual Naratif Khas Bersama Timbalan Perdana Menteri di Radio Televisyen Malaysia (RTM) malam tadi.

Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata agihan satu pertiga kerusi Parlimen kepada Sabah dan Sarawak penting supaya Semenanjung tidak akan dapat meminda Perlembagaan yang mungkin melenyapkan atau menghilangkan hak dua wilayah berkenaan seperti yang termaktub dalam MA63.

"Mengapa kerusi 30 peratus mesti diagihkan kepada Sabah dan Sarawak, (kerana) kalau (pinda) Perlembagaan, ada perkara yang mesti diputuskan dengan dua pertiga, (dan) jika (negeri-negeri) Semenanjung semua bergabung nak batalkan hak Sabah dan Sarawak, ia boleh dilaksanakan di Parlimen tanpa rundingan dengan Sabah dan Sarawak, sebab itu ia (komposisi kerusi bagi Sabah dan Sarawak) dituntut,” katanya.

Selain tuntutan agihan kerusi Parlimen, beliau juga menjelaskan aspek penyerahan kuasa mengenai hal ehwal pendidikan dan kesihatan seperti yang termaktub dalam MA63 juga masih di peringkat perbincangan.

Berhubung slogan ‘Sarawak First’, Fadillah berkata ia diwujudkan bagi mengembalikan semangat rakyat Sarawak untuk membina serta membangun bersama Malaysia, dan meskipun wujud ‘suara’ untuk membawa keluar Sarawak dari Malaysia, kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) komited untuk kekal dalam negara ini.

Menyentuh mengenai Malaysia Madani, Fadillah berkata konsep yang dibawa oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu bukan sahaja untuk mengukur pembangunan daripada aspek ekonomi serta fizikal, tetapi juga memberikan manfaat dalam konteks insaniah.

“Ia supaya (Malaysia Madani) menjadi satu budaya apabila pembangunan bukan sahaja daripada konteks fizikal tetapi bagaimana manfaatnya kepada konteks insaniah,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS