Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Selepas Bersatu, PAS alu-alukan siasatan SPRM
Diterbitkan:  Feb 2, 2023 12:21 PM
Dikemaskini: 9:51 AM

Susulan gesaan supaya akaun PAS juga disiasat selepas SPRM membekukan akaun bank Bersatu, bagi memudahkan siasatan, Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari berkata dia tidak mempunyai sebarang halangan.

“Boleh, dialu-alukan untuk siasatan. Cumanya, apa kata kita mulakan dengan orang yang lancarkan derma pilihan raya tapi menggunakan akaun peribadi?

“Lebih teruk lagi, orang jenis ini pula yang beriya-iya menyuruh siasat akaun parti lain. Atau pada hakikatnya, sudah tiada air muka lagi untuk dijaga?” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Semalam, NST melaporkan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Isham Jalil mahu SPRM juga menyiasat akaun PAS, selepas membekukan akaun Bersatu, untuk menyisat mengenai sumber dana parti itu.

Katanya, SPRM juga sewajarnya menyiasat parti komponen Perikatan Nasional (PN), iaitu PAS.

Isham Jalil

Isham yang juga adalah ketua penerangan Umno berkata, tindakan SPRM terhadap akaun Bersatu bukanlah satu perkara yang memeranjatkan memandangkan Umno juga pernah berdepan dengan pengalaman yang sama selepas pilihan raya umum ke-14.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan akaun berkenaan sudah dibekukan agensi itu sejak dua minggu lalu bagi memudahkan siasatan yang dibuat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan.

Azam Baki

Pada awalnya pembekuan berkenaan didakwa ada kaitan dengan siasatan SPRM terhadap dana dana rangsangan kerajaan - berjumlah RM92.5 bilion - semasa pandemik Covid-19 dan didakwa diselewengkan.

Bagaimanapun sumber SPRM yang enggan dikenali memberitahu Malaysiakini, bahawa pembekuan dibuat bagi menyiasat dakwaan Bersatu menerima sumbangan daripada kira-kira 10 kontraktor yang mendapat pelbagai projek semasa parti itu menjadi kerajaan.

Gambar Hiasan - Perikatan Nasional

Lewat petang semalam, Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin mengecam kerajaan yang menurutnya menggunakan SPRM sebagai alat untuk "membunuh" kredibiliti Bersatu serta PN.

Hamzah mendakwa rakyat sedar tentang "strategi jelek" pentadbiran semasa untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada kelemahan, kegagalan dan nepotisme.

Hamzah Zainudin (kanan)

Selasa lalu, Bersatu mendedahkan akaun terauditnya untuk mengukuhkan lagi penafian mereka daripada sebarang salah laku.

Lihat Komen
ADS