Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MAINJ keluar fatwa larang orang Islam hadir ritual keagamaan bukan Islam
Diterbitkan:  Feb 2, 2023 6:34 PM
Dikemaskini: 12:56 PM

Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) hari ini mengeluarkan fatwa mengenai larangan ke atas orang Islam hadir ke upacara ritual perayaan penganut agama bukan Islam di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor Mohd Fared Mohd Khalid berkata ia sebagai menjunjung titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang memperkenan fatwa berkenaan berkuat kuasa hari ini.

Beliau berkata para ulama daripada empat mazhab iaitu Syafie, Hanafi, Maliki, Hanbali, telah sepakat bahawa hukum umat Islam menghadiri upacara ritual perayaan keagamaan bukan Islam adalah haram dan dilarang.

“Upacara ritual keagamaan bukan Islam ini termasuklah di rumah ibadat mahupun di tempat lain yang biasa dilaksanakan ritual tersebut.

“Bagaimanapun, menurut sebilangan ulama hukum meraikan undangan atau jemputan ke majlis sempena perayaan bukan Islam tanpa upacara ritual keagamaan adalah harus dan dibenarkan,” kata beliau kepada pemberita di Pusat Islam Iskandar di sini hari ini.

Mohd Fared berkata dengan fatwa ini, ia diharapkan dapat memberikan kefahaman kepada umat Islam negeri ini yang segelintirnya sudah menjadi kebiasaan menyantuni kaum lain dalam usaha mengekalkan keharmonian antara kaum.

Dalam masa sama, beliau berkata satu garis panduan dan kriteria juga dikeluarkan bagi menentukan perayaan orang bukan Islam yang boleh dihadiri oleh umat Islam.

“Antaranya, majlis tersebut tidak disertakan dengan upacara yang bertentangan akidah Islam dan terdapat perbuatan seperti menyertakan simbol agama atau menyanyikan lagu bercirikan agama,” katanya.

Selain itu, beliau berkata majlis tersebut juga tidak disertakan dengan perbuatan yang boleh menyentuh sensitiviti masyarakat Islam seperti ucapan yang menghina dan mempersendakan pegangan agama masyarakat Islam.

Justeru, Mohd Fared menerusi MAINJ akan bertemu dengan ketua keagamaan serta pengurus rumah ibadah bukan Islam bagi memberi penerangan dan penjelasan mengenai garis panduan itu.

“Larangan ini tidak bermaksud untuk menganggu keharmonian antara kaum, tapi sekadar memberi nasihat serta panduan agar pemimpin masyarakat berhati-hati dalam menyatakan kebersamaan dan tidak melanggar batas-batas tertentu,” kata Mohd Fared.

Menurutnya individu yang melanggar garis panduan tersebut boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 9 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997.

- Bernama

Lihat Komen
ADS