Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kulim-Bandar Baru telah mengadakan dua mesyuarat berasingan dan berikutan itu, ia kini mempunyai dua orang ketua bahagian.

Kedua-dua mesyuarat tersebut masing-masing diadakan pada Jumaat dan Sabtu lalu dan dihadiri oleh kumpulan ahli yang berlainan.

Sehubungan itu, Pengerusi PKR Kedah, Johari Abdul berkata, pihaknya akan menyiasat perkara itu sebelum membuat perakuan kepada Majlis Pimpinan Tinggi (MPT) mengenai tindakan yang harus diambil.

Sebelum ini, bahagian berkenaan dilanda krisis apabila ketua bahagiannya, Alwi Yusof didakwa membatalkan mesyuarat perwakilan sehari sebelum yang dijadual diadakan pada 17 Mac lalu.

Sementara itu, MPT juga akan menentukan kesahihan mesyuarat perwakilan enam bahagian PKR Lembah Pantai (Wilayah Persekutuan), Sepangar, Silam, Tenom dan Pensiangan (Sabah) dan Bukit Katil (Melaka) berikutan bantahan daripada ahli, tidak cukup korum dan dibantah oleh ketua bahagian.

Setiausaha Jawatankuasa Pemilihan Mesyuarat Bahagian PKR, Ahmad Sarbini berkata, pihaknya telah menghantar laporan kepada MPT semalam untuk mengatasi masalah yang berlaku di semua bahagian terbabit.

"Kini terpulang kepada MPT untuk memutuskan cadangan yang dikemukakan oleh jawatankuasa ini mengenai keenam bahagian itu," katanya.

Pantau mesyuarat bahagian

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai cadangan yang dikemukakan kepada MPT itu.

Jawatankuasa Pemilihan Bahagian PKR merupakan sebuah badan bebas yang memantau semua mesyuarat bahagian parti itu di seluruh negara yang akan berakhir Ahad lalu.

PKR mempunyai 167 bahagian diseluruh negara dan kongres nasional parti akan diadakan Mei ini di Seremban.

Menurut sumber, keenam-enam bahagian itu menghadapi masalah seperti membuat mesyuarat tidak mengikut peraturan, tidak cukup korum dan melanggar peraturan parti.

"Sebagai contoh, mesyuarat bahagian Lembah Pantai dibantah oleh Wanita, Bukit Katil dibantah oleh ahli dan Sepangar dibantah oleh ketua bahagian," katanya lagi.

Menurut sumber itu lagi, antara cadangan jawatankuasa pemilihan tersebut ialah supaya bahagian terbabit mengadakan semua mesyuarat perwakilan masing-masing dengan pengawasan penuh MPT.

Seorang pemimpin PKR bahagian Lembah Pantai yang enggan namanya disiarkan berkata, masalah yang berlaku di bahagiannya disebabkan oleh pergerakan Wanita yang tidak puashati dengan kepimpinan bahagian.

Berikutan itu, katanya, pergerakan Wanita telah menghantar mesyuarat kepada ibupejabat parti yang mempertikaikan mengenai perjalanan mesyuarat bahagian yang diadakan 11 Mac lalu.