Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda MCA: Beri kuasa pada sekolah tentukan waktu persekolahan
Diterbitkan:  Feb 2, 2023 9:07 PM
Dikemaskini: 1:54 PM

Pemuda MCA menggesa Kementerian Pendidikan untuk mempertimbang memberi kuasa autonomi kepada pihak sekolah untuk menentukan waktu persekolahan masing-masing.

Gesaan itu disuarakan Pengerusi Jawatankuasa Perundingan Pendidikan Pemuda MCA Ng Sing Phing susulan cadangan agar sesi persekolahan di Semenanjung bermula pada jam lapan pagi.

"Biar pihak sekolah tentukan waktu operasi mereka, setelah ambil kira pandangan ibu bapa pelajar.

"Cadangan agar waktu persekolahan harian dimulakan setengah jam lebih lewat perlu diberikan perhatian oleh Kementerian Pendidikan.

"Justeru Kementerian Pendidikan harus mempertimbang untuk memberikan autonomi kepada pihak sekolah bagi menentukan waktu persekolahan masing-masing," katanya.

Kelmarin, Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Anuar Ahmad mencadangkan kerajaan menetapkan sesi persekolahan di Semenanjung bermula lapan pagi.

Katanya, langkah itu bagi memastikan guru, ibu bapa dan anak mempunyai masa mencukupi bagi mengatur jadual perjalanan masing-masing.

Bagi Ng pula, tiada satu masa khusus yang paling sesuai untuk sesi persekolahan kerana setiap sekolah beroperasi di kawasan yang berbeza dengan latar belakang pelajar yang berlainan.

"Ibu bapa yang makan gaji mungkin lebih suka waktu persekolahan 7.30 pagi kerana masih mempunyai masa untuk masuk pejabat pada jam lapan pagi.

"Bagi yang tidak bekerja pejabat, waktu persekolahan pada lapan pagi mungkin lebih digemari apabila perjalanan harian boleh diatur dengan lebih fleksibel.

"Tetapi Sabah dan Sarawak yang menerima siang hari lebih awal mungkin boleh memulakan persekolahan seawal jam tujuh pagi," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS