Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Beberapa jalan di Ipoh ditutup sempena Thaipusam
Diterbitkan:  Feb 2, 2023 9:28 PM
Dikemaskini: 1:28 PM

Beberapa jalan di sekitar daerah Ipoh akan ditutup secara berperingkat bermula 6 petang esok sehingga 7 Feb ini sempena perarakan sambutan Thaipusam.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata kemuncak perayaan Thaipusam yang akan disambut pada Selasa ini diadakan di Kuil Sri Subramaniar di Gunung Cheroh, Jalan Raja Musa Aziz; dan di Kuil Sri Maha Mariamman, Jalan Sungai Pari, Buntong.

"Bagi melancarkan perarakan pedati dari Kuil Sri Maha Mariamman, Sungai Pari ke Kuil Sri Subramaniar, Gunung Cheroh penutupan dan lencongan jalan peringkat pertama esok bermula pukul 6 petang hingga 12.30 tengah malam pada Sabtu.

"Bagi peringkat kedua, penutupan dan lencongan jalan di sekitar kawasan Kuil Sri Subramaniar, Gunung Cheroh bermula pukul 4.30 petang Isnin hingga 10.30 pagi pada Selasa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Yahaya berkata antara laluan yang terlibat dalam perarakan pedati ialah bermula dari Jalan Sungai Pari, Jalan Tun Perak, Jalan Lahat, Jalan Sultan Yusoff, Jalan Sultan Iskandar, Jalan Sultan Idris Shah, Jalan Laxamana dan Jalan Raja Musa Aziz.

"Selain itu, penutupan jalan turut diadakan di Jalan Raja Ekram, Jalan Dato' Onn Jaafar, Jalan Dato' Ahmad Said, Bulatan Hospital dan Jalan Perhentian.

"Sehubungan itu, pengguna jalan raya khususnya warga Ipoh dinasihatkan supaya merancang perjalanan dan memilih laluan alternatif bagi mengelak terperangkap dalam kesesakan semasa penutupan jalan dibuat," katanya.

Menurutnya penutupan dan lencongan jalan membabitkan pergerakan kavadi dari Kuil Sri Maha Mariamman, Sungai Pari ke Gunung Cheroh bermula 6 pagi Ahad ini hingga 12 tengah malam.

- Bernama

Lihat Komen
ADS