Hasrat PAS Melaka letak calon di Machap tidak kesampaian...
Hasrat PAS Melaka untuk meletakkan calon bertanding dalam pilihanraya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap tidak kesampaian apabila jawatankuasa politik pusat parti itu menolak cadangan tersebut.
Hasrat PAS Melaka untuk meletakkan calon bertanding dalam pilihanraya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap tidak kesampaian apabila jawatankuasa politik pusat parti itu menolak cadangan tersebut.
"Saya baru mendapat arahan itu dari jawatankuasa politik yang tidak membenar PAS Melaka meletakkan calon dalam pilihanraya kecil tersebut," kata Pesuruhjaya PAS Melaka, Abdul Ghani Abdul Rahman ketika dihubungi hari ini.
Pilihanraya kecil Machap diadakan berikutan kematian wakilnya Datuk Wira Poh Ah Tiam pada 15 Mac lalu. Penamaan calon diadakan esok dan jika ada pertandingan hari mengundi ditetapkan pada 12 April.
Dalam pilihanraya umum 2004, Poh mengalahkan calon DAP, Liou Chen Kuang dengan majoriti 4,562 undi. Poh mendapat 5,847 undi manakala Liou memperolehi 1,285 undi.
Machap mempunyai 9,887 pengundi berdaftar dengan jumlah pengundi Melayu 39.7 peratus, Cina (45.7 peratus), India (14.3 peratus) dan selebihnya kaum lain.
Jawatankuasa politik PAS, menurut Abdul Ghani, memberi alasan perkembangan politik semasa tidak sesuai untuk parti itu meletakkan calon di Machap.
Katanya, biro politik juga memberi alasan Machap bukan kawasan tradisi PAS atau kawasan majoriti kaum Melayu.
Tetap tidak bantu DAP
Sebelum ini, desas-desus mengatakan kemungkinan PAS meletakkan calon bebas bertanding dalam pilihanraya kecil itu kerana kecewa dengan sikap DAP yang didakwa tidak menghormati parti pembangkang itu.
Bagaimanapun, PAS Melaka tetap tidak akan membantu DAP dalam menghadapi pilihanraya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap pada 12 April depan.
Abdul Ghani berkata, pejabat perhubungan PAS negeri telah mengeluarkan arahan kepada ahli dan penyokongnya supaya tidak membantu calon DAP.
"Mana-mana ahli PAS yang membantu jentera pilihanraya DAP akan dikenakan tindakan," katanya.
Bagaimanapun, kata Abdul Ghani, ahli PAS boleh sekadar hadir mendengar ceramah anjuran DAP atau pihak-pihak lain, termasuk Umno.
Berikutan itu, Machap dijangka menyaksikan pertandingan dua penjuru antara Barisan Nasional (BN) dan DAP yang telah mengesahkan untuk bertanding.
BN menamakan Lai Meng Chong sebagai calonnya manakala Liou mewakili DAP.

