Bersih mahu kerajaan iktiraf kabinet bayangan pembangkang
Kumpulan pendesak pembaharuan pilihan raya, Bersih, menggesa kerajaan memberikan pengiktirafan kepada pembentukan kabinet bayangan oleh pembangkang.
Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini Bersih berkata Putrajaya boleh menggubal suatu undang-undang bagi mengakui pembentukan kabinet bayangan dengan menggariskan fungsi, hak dan kemudahan kepada mereka.
Dengan cara itu kata Bersih pembangkang boleh melaksanakan tugasnya sebagai mekanisme semak dan imbang secara profesional, dan bebas daripada sikap emosional serta populis.
"Pengiktirafan kabinet bayangan seharusnya merangkumi majlis angkat sumpah setia untuk anggota kabinet bayangan di Istana Negara, memberikan elaun berjumlah satu per tiga daripada gaji menteri seperi yang dilaksanakan di Australia, serta menyediakan peruntukan seorang pegawai penyelidik bergaji untuk setiap menteri bayangan," katanya.
Selain itu tambah Bersih mereka juga perlu diberikan akses kepada maklumat yang berkaitan sesuai dengan portfolio masing-masing untuk membantu menghasilkan polisi yang realitik.
Tidak ketinggalan Bersih mahu kerajaan melakukan penambahbaikan struktur penentuan jadual dan urusan aturan mesyuarat di Dewan Rakyat melalui perundingan bersama ketua pembangkang atau wakil kabinet bayangan.
Semalam Perikatan Nasional (PN) mengumumkan pembentukan kabinet bayangan - atau jawatankuasa portfolio - yang dianggotai ahli parlimen terpilih bagi memberikan reaksi terhadap dasar yang diperkenalkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Pengerusi PN Muhyiddin Yassin dinamakan sebagai ketua ahli parlimen gabungan itu manakala Presiden PAS, Abdul Hadi Awang sebagai timbalannya.
Setiausaha Agung PN, Hamzah Zainudin, menjadi ketua pembangkang.
Muhyiddin berkata ahli parlimen terbabit diberikan portfolio berdasarkan kemahiran dan pengalaman dalam kerajaan serta latar belakang masing-masing.
Bagaimanapun hari ini bekas ahli parlimen Bukit Bendera Wong Hon Wai melahirkan rasa kecewa dengan kabinet bayangan berkenaan apabila ia dikuasai oleh ahli parlimen Melayu-Islam saja.
Keadaan itu katanya tidak menggambarkan komposisi kaum di negara ini.
“Satu wakil kaum Cina pun tak ada. Satu wakil kaum India pun tak ada. Sabah ada satu orang. Sarawak ada satu orang," katanya.
Menurut Bersih kerajaan yang memposisikan dirinya sebagai reformis harus memberikan pengiktirafan kepada kabinet bayangan PN agar mutu perbahasan dan pemantauan di parlimen, selain persaingan dasar di antara kerajaan dan pembangkang dipertingkatkan.
"Ini nanti akan memanfaatkan rakyat yang kini sudah muak dengan perbalahan politik yang tidak profesional dan toksik," katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/02/9c50acb5f18cb04092342eb360bcd5d5.jpg)
