Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PN lancar kabinet bayangan, janji keluar kenyataan tentang dasar

Perikatan Nasional (PN) hari ini mengumumkan pembentukan kabinet bayangan atau jawatankuasa portfolio untuk memberikan respons terhadap pelbagai dasar yang diperkenalkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin dinamakan sebagai "ketua ahli parlimen PN", manakala Presiden PAS, Abdul Hadi Awang sebagai timbalannya.

Hamzah Zainudin pula kekal sebagai ketua pembangkang.

Muhyiddin, yang juga Ahli Parlimen Pagoh, berkata ahli parlimen terbabit diberikan portfolio mereka berdasarkan kemahiran dan pengalaman dalam kerajaan serta latar belakang dalam bidang masing-masing.

“Kami setuju bahawa sekretariat PN akan mengeluarkan kenyataan dasar mengenai semua perkara – apakah dasar kami mengenai ekonomi, alam sekitar, pertahanan, keselamatan dalam negeri.

"Kami akan membentangkan dasar kami supaya rakyat tahu bahawa kami bersedia untuk memikul tanggungjawab besar jika diberi mandat untuk memerintah negara," katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur selepas Pemukiman Ahli Parlimen PN, hari ini.

Muhyiddin berkata dasar itu merupakan kesinambungan daripada Wawasan Kemakmuran Bersama yang diperkenalkan pentadbirannya selama 17 bulan.

“Dasar-dasar itu dibentangkan oleh kerajaan sebelum ini, apabila kita membentangkan Rancangan Pembangunan Malaysia ke-12. Asasnya ialah wawasan kemakmuran bersama.

“Ia merentasi sempadan kaum, melihat keperluan rakyat dari segi ekonomi, perkongsian kekayaan dan lain-lain,” katanya.

Antara 26 ahli parlimen itu termasuk bekas menteri daripada pentadbiran Muhyiddin sebelum ini, serta ahli parlimen PN penggal pertama.

Daripada senarai itu, Ahli Parlimen Putrajaya, Radzi Jidin yang juga bekas menteri pendidikan, ditugaskan untuk menerajui kementerian kewangan dan ekonomi.

Ahli Parlimen Indera Mahkota dari Bersatu, Saifuddin Abdullah yang juga bekas menteri luar negeri, ditugaskan ke kementerian pengajian tinggi - portfolio yang pernah dipegangnya sebagai timbalan menteri sewaktu bersama dengan BN.

Ahli parlimen Bersatu penggal pertama yang turut dinamakan ialah Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, yang ditugaskan untuk mengawasi kementerian komunikasi digital, serta Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal untuk menyelia kementerian luar.

Ahli Parlimen Bagan Serai, Idris Ahmad daripada PAS pula ditugaskan untuk menjaga portfolio hal ehwal agama, manakala Ahli Parlimen Kubang Kerian Tuan Ibrahim Tuan Man mengetuai kementerian sumber asli, alam sekitar dan perubahan iklim.

Lihat Komen
ADS