Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jabatan kecemasan Hospital Klang ditutup kepada pesakit tidak kritikal
Diterbitkan:  Feb 3, 2023 6:24 PM
Dikemaskini: 10:24 AM

Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang terpaksa menutup jabatan kecemasannya daripada menerima kes tidak kritikal, kerana mengalami kesesakan dengan pesakit terlalu ramai.

Dalam notis yang dikeluarkan di pintu masuk jabatan itu pagi ini, pesakit diminta untuk mendapatkan rawatan di pusat kesihatan lain jika keadaan mereka tidak berada dalam keadaan "kritikal dan tenat".

"Untuk tempoh masa berikut kami perlu mengutamakan kes-kes kritikal dan tenat yang datang ke jabatan ini," kata notis berkenaan.

Ketua jabatan HTAR meletakkan notis berkenaan pagi ini selepas kakitangan penjagaan kesihatan di sana terpaksa menyaring pesakit sehingga 1.30 pagi, sumber hospital memberitahu Star.

Selepas saringan, banyak kes didapati tidak kritikal, kata sumber kepada akhbar itu.

Ini berlaku selepas Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa mengumumkan hospital awam akan menyediakan wad sementara bagi mengurangkan kesesakan di jabatan kecemasan.

Bulan lalu, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun, yang mengalami kemalangan motosikal dihantar pulang selepas menerima rawatan di bahagian kecemasan Hospital Pasir Mas, walaupun muntah-muntah dan tidak bermaya serta kakinya tidak stabil kerana ketiadaan katil di wad.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan Dr Zaini Hussin berkata siasatan awal mendapati ia berpunca daripada beberapa isu termasuk gangguan komunikasi antara petugas kesihatan dan penjaga pesakit.

Pada Disember lalu, laman web berita kesihatan CodeBlue melaporkan pesakit kritikal terkandas selama enam hari di Hospital Raja Permaisuri Bainun, jabatan kecemasan Ipoh kerana ketiadaan katil kosong di wad.

Sebagai maklum balas, pengarah hospital Dr Megat Iskandar Megat Abdul Hamid berkata pihak hospital telah mewujudkan unit pengurusan katil 24 jam untuk melicinkan proses keluar masuk pesakit dari semua wad dan kemasukan pesakit dari jabatan kecemasan ke wad.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS