Blogger mungkin panggil Dr M jadi saksi
Blogger Ahirudin Attan berkata beliau mungkin memanggil bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai saksinya dalam kes saman syarikat media New Straits Times Press (NSTP) terhadapnya.
Blogger Ahirudin Attan berkata beliau mungkin memanggil bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai saksinya dalam kes saman syarikat media New Straits Times Press (NSTP) terhadapnya.
NSTP memfailkan saman terhadap Ahirudin Attan dan seorang lagi Jeff Ooi, berhubung kandungan dalam blog mereka tahun lalu.
Ahirudin berkata Mahathir, serta Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, penting dalam kes ini kerana mereka disebut dalam artikel yang mengkritik akhbar berkenaan serta kerajaan.
Bagaimanapun, menurut AFP, Ahirudin enggan mengulas lanjut mengenainya kerana tidak mahu didakwa menghina mahkamah.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan Ahirudin menarik balik permohonannya untuk membatalkan saman NSTP, yang menurut peguamnya, Edmund Bon, dibuat selepas NSTP meluaskan samannya Februari lalu, merangkumi lebih banyak lagi artikel.
Bon memberitahu pemberita bahawa pihaknya akan menerokai kemungkinan memfailkan permohonan baru.
Menurutnya, mahkamah akan mendengar pada 28 Jun ini permohonan NSTP untuk mendapatkan perintah menghalang Ahirudin dan membuang artikel daripada blognya.
NSTP telahpun mendapatkan perintah mahkamah terhadap Ooi untuk menghalangnya daripada menyiarkan artikel atau komen berhubung saman tersebut. Berita asal
AFP

