Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PN gesa Anwar tak potong peruntukan ahli parlimen
Diterbitkan:  Feb 4, 2023 7:19 PM
Dikemaskini: 2:46 PM

Perikatan Nasional menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya tidak mengurangkan peruntukan untuk ahli parlimen, kata Ketua Whipnya Takiyuddin Hassan.

“PN mengharapkan kerajaan persekutuan khususnya perdana menteri yang juga menteri kewangan Malaysia mengutamakan kepentingan rakyat dan mengurangkan unsur-unsur seumpama deraan dan balas dendam kepada pihak pembangkang yang telah menerima mandat yang sah dari rakyat melalui saluran demokrasi pilihan raya dan memenuhi lunas-lunas undang-undang,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Takiyuddin berkata ini meskipun kerajaan persekutuan dikatakan mengambil langkah mengawal kewangan selaras dengan kedudukan dan kekangan ekonomi negara.

"Namun, peruntukan pembangunan yang disalurkan melalui ahli parlimen yang memberikan manfaat dan faedah terus kepada rakyat tidak sepatutnya diganggu meskipun dikurangkan,” katanya lagi.

Semalam, perdana menteri memaklumkan terdapat pengurangan elaun pembangunan untuk ahli parlimen daripada RM3.8 juta kepada RM1.3 juta.

Anwar berkata pengurangan elaun itu bertujuan untuk mengawal kewangan negara dan akan dilaksanakan secara berperingkat.

“Elaun tersebut merupakan peruntukan pembangunan Ahli Parlimen, selaras dengan Pejabat Daerah dan Tanah serta Pegawai Pembangunan Negeri disebabkan kekangan ekonomi.

“Biarlah dibuat secara berperingkat... dana untuk Ahli Parlimen yang terlibat...ini memberikan contoh awal...maknanya kalau Ahli Parlimen sanggup kurangkan (elaun) walaupun ia bukan sumbangan peribadi, tetapi ia sumbangan pembangunan yang diselaraskan Ahli Parlimen dan Pejabat Daerah dan Tanah,” kata Anwar lagi.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa peruntukan kawasan untuk ahli parlimen penyokong kerajaan tahun ini telah dikurangkan lebih 65 peratus iaitu daripada RM3.8 juta kepada RM1.3 juta. Jumlah itu terdiri daripada geran langsung RM1 juta dan RM300,000 lagi untuk operasi pusat khidmat mereka.

Secara tradisinya, ahli parlimen pembangkang tidak menerima peruntukan daripada kerajaan pusat sehingga beberapa tahun kebelakangan ini.

Ketika era pentadbiran PN, dilaporkan pada Feb 2021 bahawa ahli parlimen pembangkang diberi peruntukan RM100,000 sedangkan ahli parlimen kerajaan menerima RM3.7 juta.

Ini selepas selepas 32 ahli parlimen pembangkang pada ketika itu mengeluarkan kenyataan bersama menggesa peruntukan diberikan kepada mereka.

Maklum balas berkenaan setelah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dalam nada sinis ‘berterima kasih’ kepada kerajaan pusat PN pada waktu itu atas peruntukan RM100,000 kepada ahli parlimen Umno.

Menurutnya, nilai itu sama dengan yang diberikan kepada ahli parlimen pembangkang di bawah Belanjawan 2021.

Sebaliknya, kata Ahmad Zahid, ahli parlimen kerajaan PN yang lain mendapat peruntukan RM3.7 juta.

Bagaimanapun, ahli parlimen pembangkang berkata tidak menerima "satu senpun" daripada peruntukan yang dikatakan itu.

Lihat Komen
ADS