Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerajaan kini peruntuk RM100,000 untuk pembangkang
Diterbitkan:  Feb 6, 2021 3:06 PM
Dikemaskini: 7:06 AM

Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh hari ini memaklumkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) kini akhirnya memberikan peruntukan RM100,000 kepada ahli parlimen pembangkang.

Perkembangan itu berlaku selepas 32 ahli parlimen pembangkang mengeluarkan kenyataan bersama menggesa peruntukan diberikan kepada mereka.

Ia menjadi reaksi ahli parlimen pembangkang ekoran pendedahan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang memberitahu dia diberikan peruntukan RM100,000 "seperti pembangkang" baru-baru ini.

“Kami dimaklumkan kerajaan PN memutuskan untuk memberi peruntukan RM100,000 kepada ahli parlimen pembangkang.

“Dana ini akan diletakkan di ICU (Unit Penyelarasan Pelaksanaan) di Jabatan Perdana Menteri dan saya boleh memohon untuk menggunakannya untuk pelbagai program di Segambut tahun ini.

“Dana RM3.5 juta untuk kawasan Segambut (yang saya persoalkan sebelum ini, yang mana ahli politik PN ada akses dan kawalan terhadap dana ini) turut datang daripada ICU.

“Setakat hari ini - wakil Bersatu dan MCA kata mereka tak tahu apa-apa tentang hal ini. Kami akan terus beri tekanan untuk mendapatkan jawapan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya hari ini.

Sebelum ini, Yeoh membidas kenyataan Ahmad Zahid dan menegaskan ahli parlimen pembangkang tidak menerima hatta satu sen pun daripada peruntukan kerajaan persekutuan tahun ini.

Yeoh memberikan respons itu setelah Ahmad Zahid sebelum itu, dalam nada sinis ‘berterima kasih’ kepada kerajaan pusat atas peruntukan RM100,000 kepada ahli parlimen Umno yang menurutnya, sama nilai dengan yang diberikan kepada ahli parlimen pembangkang di bawah Belanjawan 2021.

Sebaliknya, kata Ahmad Zahid, ahli parlimen kerajaan yang lain mendapat peruntukan RM3.7 juta.

Semalam, Ketua MCA Segambut Daniel Ling menafikan dakwaan Yeoh dan memintanya mengemukakan bukti bahawa peruntukan tahunan sebanyak RM3.5 juta untuk Segambut disalurkan kepada seorang ahli politik PN. 

Katanya, baik parti mahupun pasukan sukarelawan PN di kawasan itu tidak ada diperuntukkan sebarang pembiayaan untuk khidmat mereka, sebaliknya kerja-kerja khidmat masyarakat MCA dibiayai secara bebas sepenuhnya.

Sementara itu, Yeoh menzahirkan rasa terharu dengan maklum balas penyokong dan penduduk yang menyumbangkan derma kepada pejabatnya.

“Jumlah RM160,055.08 (berjaya) didapatkan kerana 1,217 penderma percaya dengan apa yang kami lakukan. Terutamanya, saya tersentuh dengan seorang penderma yang memasukkan RM25 dengan nota “Love from Sabah” (Sayang dari Sabah).

“Pemberian kasih sayang sebanyak RM160,055.08 ini akan membantu kos operasi pejabat saya dan menampung kami untuk setengah tahun. Bagi pihak pasukan #Segambut, kami ucapkan terima kasih!” katanya. 

Lihat Komen
ADS