Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin memulakan kempen pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap dengan mendakwa ada anasir-anasir yang cuba menghasut para pengundi supaya jangan keluar mengundi pada 12 April ini bagi mengurangkan majoriti calon Barisan Nasional (BN).

Katanya, mereka berbuat demikian kerana menyedari bahawa pembangkang pasti akan kalah dan mahu mengurangkan majoriti kemenangan BN dengan berusaha menghalang pemilih daripada keluar mengundi.

"Jadi kita harap pengundi, jangan beri perhatian kepada apa juga bahan-bahan kempen yang digunakan oleh anasir-anasir ini dalam pilihanraya kecil kali ini, " katanya selepas proses penamaan calon bagi pilihanraya kecil Machap di Kompleks Japerun Machap, Bukit Bulat di Alor Gajah hari ini.

"Adalah menjadi tanggungjawab penduduk Machap untuk mengundi bagi memastikan kemenangan demokrasi, untuk menafikan apa juga yang diperjuangkan oleh mereka (anasir) berkenaan yang menyatakan demokrasi sudah berkubur di Malaysia," katanya dalam laporan Bernama.

Pilihanraya kecil itu akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN Lai Meng Chong, 56, dan calon DAP Liou Chen Kuang, 33.

Pilihanraya kecil itu diadakan berikutan kematian Datuk Wira Poh Ah Tiam, 55, yang juga Pengerusi MCA Melaka, pada 15 Mac lalu. Dalam pilihanraya umum 2004, Poh menewaskan Liou dengan majoriti 4,562 undi.

Propaganda

Menteri Penerangan itu berkata, anasir tersebut selalu mendakwa negara ini tidak mempunyai demokrasi tetapi mereka tetap menyertai pilihanraya kali ini.

"Mereka tidak pernah faham kenapa kita mencapai kestabilan melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB).

"Sebaliknya mereka melancarkan propaganda iaitu sesuatu yang tidak boleh diterima oleh orang Melayu. Mereka tidak pedulikan sensitiviti orang lain," katanya.

Dengan mengundi BN, kata Zainuddin, ia akan membuktikan pengundi menolak kritikan DAP yang menggunakan isu nasional untuk memancing undi pada pilihanraya kecil kali ini.

"Saya menggesa rakyat supaya tidak terpengaruh terhadap usaha anasir ini, yang datang meminta mereka supaya jangan keluar mengundi," katanya