KJ boleh tubuh parti jika benar ada 'magnet' tarik anak muda - Puad
Ahli Majlis Tertinggi Umno Puad Puad Zarkashi berkata bekas ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin boleh menubuhkan parti baru sekiranya benar mempunyai 'magnet' atau daya tarikan yang mampu menarik sokongan orang muda.
Mengulas kenyataan Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob susulan pemecatan Khairy, Puad berkata, dengan penubuhan parti baru boleh dilihat apakah akan berduyun-duyun anak muda menyertainya.
"Ismail Sabri kata, Khairy ada ‘magnet’. Umno rugi kerana buang ‘magnet’ untuk tarik orang muda. Masa Khairy jadi ketua pemuda ramaikah anak muda ditarik oleh ‘magnet’ Khairy untuk sokong Umno?
"Mungkin anak muda sokong Khairy tetapi bukan pada Umno. Khairy tidak merayu pemecatannya. Apa salahnya Khairy tubuh parti baru. Kita tengok apakah anak muda akan berduyun masuk ikut ‘magnet’ Khairy," katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Semalam Ismail Sabri dilaporkan berkata Umno akan menghadapi kesukaran untuk mendapatkan semula sokongan golongan muda berikutan tindakan parti itu memecat pemimpin kritis seperti Khairy.
Bekas perdana menteri itu berkata Umno telah mengambil langkah ke belakang dengan isyarat yang salah kepada golongan muda susulan pemecatan Khairy oleh Umno baru-baru ini.
Sementara itu Puad berkata, sekiranya Khairy tidak seberani Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Abdul Rahman untuk menubuhkan parti baru dia boleh menyertai Bersatu atau PAS.
"Khairy boleh buktikan magnet dia okay, jangan pula jadi penumpang kepada parti itu.
"Ismail Sabri silap. Patut dia cadang pada Majlis Kerja Tertinggi supaya Khairy ganti dia sebagai poster boy di PRU15 lalu.
"Alasannya dia tidak ada ‘magnet’, Khairy ada ‘magnet’. Ruginya Umno kalau betul," ujarnya.
/file/1282/583b0ea9847e902e7c2c79fea9568040.jpeg)
