GLOBAL l Jumlah kematian di Turkiye susulan gempa bumi dahsyat yang mencatat kemusnahan besar meningkat kepada 2,379 setakat ini dengan angka terkini dari Syria berjumlah 1,444.

Ini menjadikan jumlah kematian keseluruhan setakat ini kepada lebih 3,823 manakala ribuan lagi yang cedera dengan usaha pemulihan masih belum selesai.

Angka kematian juga dijangka akan meningkat dengan ketara.

Menurut Agensi, Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan mengisytiharkan tempoh berkabung selama tujuh hari susulan gempa bumi itu.

"Bendera kami akan dikibarkan separuh tiang sehingga matahari terbenam pada Ahad, 12 Februari 2023, di semua perwakilan negara kami dan negara asing," kata Erdogan.

Gempa bumi 7.8 awal pagi semalam menggegarkan Kahramanmaras dan beberapa wilayah kejiranan termasuk Gaziantep, Sanliurfa, Diyarbakir, Adana, Adıyaman, Malatya, Osmaniye, Hatay, dan Kilis. 

Negara di seluruh dunia bergerak pantas untuk menghantar bantuan dan pasukan penyelamat selepas gempa bumi kuat mengorbankan lebih 2,300 orang di Turkiye dan Syria.

Sementara itu, negara-negara di seluruh Eropah, Asia, Timur Tengah, dan Amerika Utara berikrar menghantar bantuan dan sokongan.

Turut berbuat demikian adalah Malaysia.

Bernama melaporkan kedutaan Turkiye di Malaysia mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia yang menghantar Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) susulan gempa bumi yang melanda Turkiye pada Isnin.

Kedutaan itu dalam ciapannya turut menyiarkan beberapa keping gambar dan video mengenai penghantaran anggota SMART ke Turkiye di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur lewat malam tadi.

Pasukan elit SMART membabitkan seramai 70 anggota itu terdiri daripada pasukan perubatan dari Kor Kesihatan Diraja (KKD), Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan pasukan khas bahan kimia berbahaya (Hazmat).

Menteri Luar Zambry Abdul Kadir mengesahkan tiada rakyat Malaysia terjejas dalam bencana itu. Kesemua 13 rakyat Malaysia yang berada di kawasan yang terjejas selamat, menurut kementerian berkenaan.