Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu memberi jaminan bahawa dia akan terus memberi perkhidmatan kepada pengundi di Tambun walaupun bukan lagi ahli parlimen di kawasan itu.

Bagaimanapun, Faizal dipetik oleh Berita Bersatu sebagai berkata, dia akan menghadapi kekangan kerana tidak lagi mempunyai peruntukan daripada kerajaan.

“Ini termasuk peruntukan untuk contohnya, van jenazah, ambulan saya masih beroperasi.

“Kita teruskan kerana perkhidmatan untuk membantu rakyat, tanpa mengira parti, bukan bersebabkan kita mahu menjadi wakil rakyat untuk kita kekal menang, tidak,” katanya.

Sebaliknya, menurutnya, ia adalah satu tanggungjawab sosial dan dia akan meneruskan apa juga perkhidmatan yang diberikan sebelum ini.

Faizal bercakap kepada pemberita pada  majlis kenduri kesyukuran Perikatan Nasional (PN) Tambun dan Pusat Khidmat Rakyat DUN Manjoi di Ipoh, semalam.

Walaupun PN kalah kerusi parlimen Tambun kepada Pakatan Harapan, ia berjaya merampas kerusi DUN Manjoi yang berada dalam kawasan Tambun.

Faizal adalah wakil rakyat Tambun selama sepenggal dan Adun Chenderiang sepenggal.

Dia dilantik sebagai menteri besar Perak bermula pertengahan 2018 hingga akhir 2020. Berikutan itu, dia dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan dari Ogos 2021 hingga Okt 2022.